Rabu, 6 Mac 2019

Proton jual lebih 5,000 kereta bulan lalu, kuasai 12.7% pasaran

Proton mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 42% bagi 2 
bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada 2018.
 
KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd meneruskan permulaan cemerlang tahun ini, apabila mendaftarkan 5,283 unit kereta bulan lalu.

Ini mewakili kira-kira 12.7% penguasaan pasaran, meningkat lebih 3% berbanding bulan sama pada 2018.

Proton dalam kenyataan hari ini berkata, secara keseluruhannya, pertumbuhan jualannya lebih tinggi daripada semua saingannya, berdasarkan peningkatan jualan sebanyak 37% tahun ke tahun.

Katanya, ia turut mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 42% bagi 2 bulan pertama berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Pendaftaran untuk Proton X70 terus meningkat setiap bulan dengan 2,823 unit didaftarkan pada Februari, termasuk 1,000 unit yang diserahkan kepada pelanggan pada hari sama di seluruh negara sebelum Tahun Baru Cina.

“Pada akhir Februari, lebih 20,000 tempahan diterima untuk SUV pertama Proton, melebihi jangkaan awal yang mengesahkan kedudukan syarikat itu sebagai pemimpin segmen, walaupun baru memasuki pasaran.”

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Li Chunrong berkata, Proton X70 sedang membangunkan asas peminatnya dan menarik sokongan kukuh daripada pembeli SUV Malaysia.

“Proton bangga mencatat rekod baru untuk pendaftaran SUV dalam tempoh 3 bulan pertama selepas pelancarannya. Angka ini luar biasa kerana ia dicapai walaupun terdapat 2 cuti perayaan panjang (Tahun Baru Krismas dan Tahun Baru Cina), merangkumi 78 hari secara keseluruhan.

“Sasaran kami seterusnya adalah jumlah pendaftaran 6 bulan dan setahun penuh yang kami yakini dapat dicapai.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.