Rabu, 6 Mac 2019

Kanak-kanak tak divaksin sebabkan sekolah ditutup, NGO beritahu Maszlee

Azrul Mohd Khalib menyarankan Kementerian Pendidikan bekerjasama 
dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Wanita dan 
Pembangunan Masyarakat bagi memastikan kadar kanak-kanak 
mendapat suntikan vaksin meningkat.
 
PETALING JAYA: Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial menyifatkan kenyataan Menteri Pendidikan Maszlee Malik yang membezakan vaksin dan hak pendidikan merupakan perkara yang jauh berbeza daripada realiti sebenar.

Ketua Pengarah Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib berkata penyakit tidak mengenal birokrasi dan kehadiran kanak-kanak tidak disuntik vaksin ke sekolah akan menjejaskan keseluruhan komuniti pelajar, memandangkan sudah berlaku kes sekolah ditutup sementara.

“Beberapa sekolah di Kajang, Putrajaya dan Gombak terpaksa ditutup sementara pada 2017 dan hujung 2018 disebabkan beberapa wabak beguk berlaku dalam kalangan pelajar yang tidak mendapat suntikan vaksin.

“Sesetengah sekolah terpaksa ditutup selama seminggu dan ada yang terpaksa ditutup selama sebulan untuk menghalang penyebarannya. Beguk adalah penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin.
“Bahkan penyakit beguk termaktub dalam Program Imunisasi Kebangsaan yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada FMT.

Pada Oktober tahun lalu, Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gombak ditutup buat sementara waktu ekoran jangkitan wabak beguk.

Ketika itu, Kementerian Pendidikan memaklumkan tindakan itu diambil susulan Notis Perintah Tutup Premis dikeluarkan Kementerian Kesihatan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) terhadap kedua-dua sekolah itu.

Azrul berkata, beliau setuju dengan kenyataan Maszlee bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapatkan pendidikan tanpa wujud sebarang diskriminasi, bagaimanapun wabak penyakit berjangkit yang berlaku ini secara tidak langsung menjejaskan pembelajaran.

“Ia menyebabkan kanak-kanak lain berisiko dan membahayakan kesihatan mereka. Maszlee seharusnya menghantar mesej jelas bahawa Kementerian Pendidikan terbuka dengan idea memastikan kanak-kanak tidak disuntuk vaksin terbela dan mempunyai hak pendidikan. Tetapi pada masa sama, asingkan mereka daripada populasi pelajar yang lain.

“Kementerian Pendidikan perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Wanita dan Pembangunan Masyarakat untuk terus bergerak ke hadapan bagi memastikan kadar kanak-kanak mendapat suntikan vaksin meningkat,” katanya.

Hari ini, Maszlee memaklumkan vaksin dan hak kepada pendidikan adalah isu berbeza, menjawab saranan penguatkuasaan undang-undang bagi melarang kanak-kanak yang tidak mendapat suntikan imunisasi ke sekolah.

Ia susulan Persatuan Doktor Islam Malaysia berkata sudah sampai masa suntikan vaksin diwajibkan sebelum kanak-kanak memasuki alam persekolahan kerana ia membabitkan kematian dan boleh menjadi epidemik jika tidak ditangani dengan baik.

“Suntikan vaksin imunisasi ini perlu mandatori. Ia melibatkan kematian dan ia perkara serius kerana penyakit seperti difteria boleh berjangkit jika tersebar,” kata Presidennya, Dr Ahmad Shukri Ismail berhubung penularan penyakit difteria di Johor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.