Jumaat, 8 Mac 2019

Pendakwa mahu Rosmah isytihar harta dalam kes pengubahan wang haram

Peguam Rosmah berkata, beliau tidak boleh diminta mengisytiharka
perolehan harta dan pada masa sama dibicarakan atas perkara sama. 
(Gambar Bernama)
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu pihak pendakwaan memfailkan notis terhadap isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor agar beliau mengisytiharkan perolehan harta dalam kes pengubahan wang haram.

Peguam K Kumaraendran mewakili Rosmah, 67, yang berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7,097,750 dan 5 pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata, pihak pembelaan menerima notis daripada pendakwaan yang diserahkan mengikut Seksyen 49 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

“Bagaimanapun kami memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti afidavit balasan yang difailkan pihak pendakwa untuk menolak permohonan kami bagi membatalkan notis itu,” katanya semasa prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Pihak pendakwaan yang diwakili timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar, tidak membantah permohonan pihak pembelaan itu.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 25 April untuk mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak mengenai perkara itu.

Rosmah diiringi suaminya, Najib Tun Razak dan anak lelakinya, Mohd Ashman, pada prosiding hari ini.

Pada 4 Okt 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan 5 pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148 Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan Jun 8 Jun 2017 dan di LHDN, di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Tuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, beliau didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan beliau bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada ketua pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan.

Sementara itu, Geethan Ram Vincent, yang juga mewakili Rosmah dalam kes itu, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, pihak pembelaan menerima notis itu (supaya Rosmah mengisytiharkan perolehan hartanya) November tahun lepas dan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan notis tersebut.

Peguam itu menegaskan bahawa Rosmah tidak boleh diminta mengisytiharkan perolehan harta dan pada masa sama dibicarakan atas perkara sama.

“Ini adalah kerana anak guam kami ada hak untuk mendiamkan diri. Dengan penerimaan notis ini bermakna hak itu sudah diambil daripada anak guam kami,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.