Sabtu, 9 Mac 2019

Kor Ming dicabar ke Kelantan tengok patung Buddha terbesar Asia Tenggara

Manzaidi Mohd Amin
Dua patung Buddha yang terletak di negeri diperintah Pas masih utuh sampai sekarang
Dua patung Buddha yang terletak di negeri diperintah Pas masih utuh sampai sekarang


KUALA LUMPUR – Warga netizen mencabar Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming membuktikan tuduhannya sekiranya UMNO dan Pas memerintah negara ini menjadi seperti Afghanistan.

Sambil menyifatkan pemimpin DAP itu tidak pernah mengelilingi  Malaysia atau singgah di Kelantan, netizen yang memegang akaun Twitter bernama Abu Ben berkata, tuduhan Kor Ming itu agak liar.

“Atas dasar dan bukti apa kau menuduh sekiranya UMNO dan Pas memerintah, negara ini akan diperintah secara ekstrem?

“Tahukah kamu, patung Buddha terbesar terletak di mana? Jika Pas ekstrim agama, tidak mungkin patung Buddha itu boleh wujud di Kelantan,” katanya dalam hantaran Twitternya, hari ini.

Untuk rekod, dua patung Buddha terbesar di Asia Tenggara terletak di Kampung Berok (Wat Protivihan) dan Kampung Jubakar (Wat Machimmaram), Tumpat, Kelantan.

Kelantan diperintah oleh Pas sejak Pilihan Raya Umum kelapan (PRU8) tahun 1990.

Malah patung Buddha di Wat Machimmaram, Kampung Jubakar yang dibina zaman pemerintahan Pas turut dihadiri Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika masih Menteri Besar Kelantan pada September 2014.

Semalam, media melaporkan Kor Ming sebagai berkata, kerjasama UMNO dengan Pas akan memecah-belahkan rakyat dan menyebabkan negara menjadi seperti Afghanistan yang diperintah oleh Taliban jika dua parti itu berjaya membentuk kerajaan.

Pemimpin dari parti cauvinis itu berkata, pembentukan kerajaan UMNO-Pas merupakan satu keadaan “tiada patah balik” yang akan menyebabkan rakyat menderita.

“UMNO dan Pas telah mengambil tindakan bersama yang semakin ekstrem manakala golongan Melayu yang sederhana dan berfikiran terbuka pula menjadi berdiam diri.

“Golongan yang berfikiran sederhana dan pertubuhan masyarakat berkenaan harus bersatu dan menguatkan tenaga supaya negara menghala ke aras pemerintahan yang mengamalkan pendekatan sederhana dan bukannya ekstrem,” kata Kor Ming yang dipetik media Kwong Wah Yit Poh. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.