KOTA BHARU: Kerjasama
antara PAS dan Umno dalam barisan pembangkang pada hari ini merupakan
satu ancaman utama kepada kerajaan Pakatan Harapan.
Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan
Ibrahim Tuan Man berkata, banyak kenyataan daripada pemimpin kerajaan
yang menggambarkan ketakutan terhadap penyatuan dua parti Melayu
terbesar itu.
Menurutnya, kerjasama itu bukan sahaja
bertujuan untuk mengabaikan hak kaum lain, malah paling utama ialah
menjaga kestabilan negara pelbagai kaum.
"Pengalaman Umno dan Barisan Nasional
memerintah 60 tahun dan kita PAS ada Dewan Himpunan Penyokong PAS, tidak
benar jika kerjasama ini hanya untuk orang Melayu dan Islam sahaja.
"Tetapi kerjasama ini untuk ummah yang
melibatkan semua pihak, malah PAS boleh bekerjasama semua pihak bukan
sahaja Umno dan NGO sekalipun," katanya pada Mesyuarat Agung PAS Kawasan
Kubang Kerian di Maahad Taqadum Maarif dekat sini, pagi tadi.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu
menegaskan, kerjasama PAS bersama Umno dan Barisan Nasional dilakukan
selagi mereka dapat menerima prinsip PAS iaitu Islam.
"Kita menyambut baik apa yang disebut
oleh Tuan Guru Presiden kita, PAS bukan sahaja bekerjasama dengan Umno
dan Barisan Nasional (BN) sahaja.
"Malah dengan mana-mana pihak dan parti
yang ingin bersama-sama dalam muafakat ini, kita alu-alukan termasuk
badan bukan kerajaan (NGO) sekalipun," katanya.
Sebelum ini menyaksikan pimpinan Pakatan
Harapan terus mendakwa kerjasama kedua-dua parti itu tidak kekal lama
kerana menjadikan elemen Melayu dan Islam yang disifatkan sebagai rasis.
Malah kenyataan Setiausaha Agung DAP,
Lim Guan Eng baru-baru ini dengan nada sama turut mendapat bantahan PAS,
Umno dan parti kompenan Barisan Nasional seperti MCA dan MIC. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.