Khamis, 7 Mac 2019

Kes cabul remaja: Shahidan Kassim hadapi perbicaraan 18, 19 Mac ini

Salim Aziz, Astro Awani
Kes cabul remaja: Shahidan Kassim hadapi perbicaraan  18, 19 Mac ini
Shahidan, 68, yang berkemeja putih dan bersongkok, tiba di perkarangan mahkamah pada 8.50 pagi.
 
 
KANGAR: Selepas tiga kali gagal hadir di mahkamah untuk prosiding pengurusan kes dakwaan mencabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim hadir di Mahkamah Sesyen Kangar, di sini hari ini.
 
Shahidan, 68, yang berkemeja putih dan bersongkok, tiba di perkarangan mahkamah pada 8.50 pagi dengan ditemani isteri dan anaknya untuk prosiding menetapkan tarikh perbicaraan.

Hakim, Ainul Shahrin Mohamad kemudiannya menetapkan 18 dan 19 Mac ini, sebagai tarikh perbicaraan.

Pada 12 November tahun lalu, Shahidan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Perlakuan didakwa dilakukan dalam sebuah kereta di perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, pada pukul 11.30 malam, 20 Oktober lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut seksyen 14(a), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Mohd Fuad Abdul Aziz sementara tertuduh diwakili barisan peguam Thailia Rohaina Abdul Latiff, Zhuair Ahmad Zakuan dan Syed Muhammadd Anwar Syed Lokman Hakim.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.