Rabu, 30 Januari 2019

Tinjauan: Lebih ramai pilih PAS sebagai pelindung isu Melayu Islam

MALAYSIAKINI

   
PAS mendahului Umno sebagai pelindung kepada isu mengenai Melayu dan Islam, dedah satu tinjauan yang dilakukan terhadap 2,614 responden.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata hampir 30 peratus orang Melayu-Islam memilih PAS sebagai pelindung utama isu Melayu dan Islam berbanding hanya 27 peratus memilih Umno.

PKR menduduki tempat ketiga iaitu sebanyak 17 peratus diikuti oleh Bersatu (4 peratus) dan Amanah (3 peratus), kata Yusri.

Tinjauan mengenai sentimen Melayu-Islam dijalankan antara 1 Oktober hingga 24 Disember melibatkan 2,614 orang Melayu-Islam di seluruh negara.

Menurut Yusri, 34 peratus Melayu-Muslim memilih Umno dan 29 peratus lagi memilih PAS dalam kaji selidik yang sama dijalankan pada Ogos tahun lepas.

“Ini sebelum ahli Parlimen Umno mula keluar parti," katanya dalam Forum Nadi Melayu: Nilai,
Persepsi dan Sentimen Melayu-Muslim, di Kuala Lumpur malam tadi seperti dilapor The Malaysian Insight.
Antara penemuan dalam laporan awal yang dilakukan bersama Penang Institute menunjukkan orang Melayu di negara ini umumnya bersikap konservatif.

“Ada yang cenderung ke arah nasionalisme Melayu manakala yang lain lebih nasionalisme Islam,” kata Yusri.

Walaupun konservatif, Yusri berkata orang Melayu masih terbuka terhadap idea demokratik.

Mengenai persoalan Tanah Melayu, 86.7 peratus bersetuju orang Melayu adalah pemilik yang berhak. Pada masa yang sama, 83.5 peratus juga berkata Malaysia milik semua rakyat.

Sebanyak 72.3 peratus bersetuju orang Cina dan India tidak sepatutnya meminta hak yang sama selagi mereka dibenar mengekalkan pendidikan dalam bahasa ibunda manakala 79.5 perartus juga bersetuju semua rakyat Malaysia patut dilayan dengan adil.

Mengenai Islam pula, 83.9 peratus berpendapat undang-undang syariah seharusnya menjadi undang-undang tertinggi negara ini tetapi 91.7 peratus menyokong negara berbilang agama di mana semua agama lain boleh diamalkan secara bebas.

Naratif Islam PH sukar diterima

Kajian itu mengatakan orang Melayu-Islam pada umumnya mendapati naratif Islam oleh Pakatan Harapan (PH) terlalu sukar diterima.
“Kerajaan sekarang perlu menggambarkan imej yang lebih tepat dan tidak progresif kerana ia boleh disalah anggap sebagai liberal. PH tidak boleh pergi kepada golongan konservatif juga kerana ia sudah dipegang oleh PAS dan Umno.

“Walaupun nasionalisme Melayu lebih tinggi sekarang, kami menjangkakan nasionalisme Islam akan bangkit pada masa depan.”

Seorang lagi ahli panel Dr Faisal Hazis berkata ia akan mengambil masa untuk mengubah negara.
“Anda tidak boleh berharap untuk beralih kepada Malaysia Baru selepas 61 tahun Malaysia Lama,” katanya.

Ahli panel lain termasuk Dr Wong Chin Huat daripada Penang Institute dan Dr Liyana Khairuddin. Sesi itu dimoderator oleh Mohd Izzuddin Ramli.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.