PENENTUAN mekanisme
penetapan harga runcit petrol dan diesel mesti dibuat secara
berhati-hati supaya para pengguna dan pengusaha stesen minyak tidak
berhadapan dengan masalah yang tidak sepatutnya.
Harga yang diapungkan semula di pasaran
berdasarkan Automatic Price Mechanism (APM) betul menguntungkan pengguna
pada masa harga minyak mentah global menurun. Namun, jika tiada
mekanisme pengawalan tertentu, pengguna juga perlu membayar harga yang
lebih tinggi pada masa harga minyak mentah global meningkat.
Harus difahami bahawa harga minyak
mentah global ini bukannya statik dan ia sukar dijangka kerana turun dan
naiknya turut bergantung kepada keadaan geopolitik semasa antarabangsa.
Oleh itu, pendekatan menentukan harga runcit petrol berdasarkan managed float system
bersekali dengan penetapan had harga maksimum seperti yang diumumkan
oleh Kementerian Kewangan pada petang semalam adalah memang sepatutnya.
Namun, saya berpandangan had harga
maksimum ini patut dan boleh direndahkan lagi berbanding RM2.20 bagi
RON95 dan RM2.18 bagi diesel.
Had harga ini penting supaya beban kos
sara hidup rakyat tidak bertambah dan bagi mengelakkan berlakunya
peningkatan mendadak indeks harga pengguna (IHP).
Kerajaan juga mesti mengehadkan kadar
kenaikan harga runcit bahan api ini (dicadangkan maksimum 15 sen
seliter) supaya pengguna tidak mengalami kesan perubahan perbelanjaan
yang mendadak.
Saya juga melahirkan rasa terkilan
dengan keputusan Kerajaan yang menangguhkan lagi penurunan harga runcit
petrol dalam pasaran yang sepatutnya bermula hari ini.
Sejak diumumkan dalam Bajet 2019 pada
awal November lalu, kenapa baru sekarang Kerajaan mahu mengadakan
pertemuan dan perbincangan dengan Petroleum Dealers Associations of
Malaysia (PDAM) bagi memuktamadkan isu ini sedangkan PDAM adalah antara
pemegang taruh yang utama dalam isu ini?
Jelas sekali bahawa tindakan
menangguhkan ini menunjukkan sebenarnya Kerajaan mahu mengaut keuntungan
daripada rakyat dengan membuat helah. Berdasarkan Mean of Platts
Singapore (MOPS) dan APM, sepatutnya sejak awal Disember lalu RON95
dijual pada harga RM1.90 seliter.
Ini bermaksud, dengan mengekalkan bahan
api ini pada harga RM2.20 seliter, Kerajaan mengaut untung sebanyak 30
sen bagi setiap liter daripada pengguna. Menjelang tahun baru, sekali
lagi pengguna diminta terus menanggung "subsidi" untuk Kerajaan.
*DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI , Ahli Parlimen Kuala Nerus
HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.