KEBERGANTUNGAN negara
kepada bahan yang berasaskan plastik secara berleluasa telah mengundang
masalah apabila kehadiran mikroplastik dalam persekitaran akuatik di
lautan.
Mikroplastik merupakan partikel-partikel
kecil daripada plastik yang memberi kesan kepada hidupan laut sekali
gus pemakanan manusia seharian.
Dianggarkan sebanyak sembilan bilion tan
plastik digunakan oleh rakyat Malaysia pada setiap tahun dan sebahagian
besarnya berakhir di lautan.Kebimbangan
kita suatu masa dahulu berhubung ancaman plastik kepada hidupan marin
seperti penyu, terumbu karang, ikan dan sebagainya kini bertukar menjadi
ancaman baharu kepada keselamatan makanan kita sendiri.
Kajian Greenpeace mendapati bahawa lebih
daripada 90 peratus garam di laut yang digunakan di dapur seluruh dunia
mengandungi mikroplastik. Manakala sekurang-kurangnya 170 spesies
marin, termasuk kupang, udang kara dan ikan kurau dari perairan sebelah
selatan China didapati mengandungi mikroplastik.
Hidupan marin yang tercemar dengan
mikroplastik lalu dimakan oleh manusia boleh menjejaskan kesihatan
manusia iaitu menganggu sistem saraf dan sistem percernaan dan akhirnya
boleh membawa kepada kematian.
Persoalannya, sejauh manakah teknologi
yang dibina pada hari ini bagi menjamin keselamatan bekalan makanan
manusia seandainya makanan laut tercemar dengan mikroplastik?
Segala usaha ke arah penyelesaian mapan
perlu disokong oleh semua pihak. Oleh itu, bagi menyelesaikan masalah
ini perlu bermula daripada kesedaran masyarakat negara kita sendiri
selain usaha Kerajaan yang telah melancarkan “single-use plastic” (SUP) dengan tindakan permulaan menghentikan penggunaan botol minuman pakai buang, straw dan makanan.
Saya mencadangkan Kerajaan untuk
memperluaskan penggunaan plastik hidro-biodegradasi serta memperkenalkan
teknologi yang mengurangkan bilangan plastik mahupun mikroplastik yang
berada di laut.
Kerajaan boleh memperkenalkan lapisan
penapis pada setiap langkah rawatan dan penapisan di loji rawatan air
yang boleh membuang 99 peratus mikroplastik.
Selain itu, produk inovasi seperti
Guppyfriend iaitu sebuah beg basuhan dan Cora Ball yang menangkap
serpihan sintetik yang keluar dari pakaian manusia setiap kali ia
dibasuh sememangnya membantu bukan saja mengurangkan mikroplastik tetapi
juga usaha menambahbaik kualiti makanan dan air minuman kita.
Kesedaran sivik harus dipupuk ke atas
setiap individu selain peranan kerajaan, pihak industri dan pihak
berkuasa bagi mengawal pencemaran plastik di negara ini. Pencemaran
plastik boleh dikawal sekiranya semua pihak memainkan peranan mereka
masing-masing demi kemampanan alam sekitar.
Usaha ini perlu digalas oleh semua pihak
selaku khalifah di atas muka bumi yang ditugaskan untuk memakmurkan
bumi selari dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan
kamu daripada bahan-bahan bumi dan menghendaki kamu memakmurkannya”
(Surah Hud, Ayat 61).
“Islam Memimpin”
*TUAN CHE ALIAS HAMID, Ahli Parlimen Kemaman - HARAKAH DAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.