Rabu, 30 Januari 2019

Melayu akan hebat jika kikis sifat ini

 
 

Ada beberapa sifat yang tertanam dalam diri orang Melayu, dan
 jika mereka ingin berjaya dan menjadi hebat, hendaklah kikis 
sifat-sifat ini.


Malas

Orang Melayu begitu popular dengan sikap “M”, atau lebih tepat lagi, malas. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir juga pernah beberapa kali mengkritik sikap orang Melayu yang malas. Baru-baru ini, selepas Dr Mahathir mentadbir semula negara, beliau dikatakan membuang tongkat yang selama ini menopang kehidupan orang Melayu. Malah dikatakan dengan “tongkat” yang selama ini diberi menyebabkan orang Melayu menjadi begitu malas.

Namun, tak semua orang Melayu itu malas. Cuma segelintir, bukan keseluruhannya. 

Bertangguh

Ini sikap yang selalu dikesan dalam kalangan pelajar universiti. Jika di dalam bilik kuliah yang terdiri daripada pelajar Melayu, Cina, India dan pelajar asing, boleh dikatakan pelajar Cina mendahului yang lain dari segi penyelesaian tugas. Pelajar Cina lebih terkedepan dalam menyelesaikan tugasan, berbanding pelajar Melayu yang sering memberi pelbagai alasan jika gagal menyiapkan tugasan.

Amat rugi jika terus mengamalkan sikap bertangguh. Belajarlah menghargai masa, gunakanlah dengan sebaik mungkin dan cuba menyelesaikan segala perkara dengan lebih awal. Jika anda pelajar universiti yang hebat, berusaha menyeimbangkan masa antara belajar dengan perhubungan sosial.

Kurangkanlah aktiviti yang bukan menyumbang kepada peningkatan prestasi pendidikan kerana tujuan masuk ke universiti adalah menggenggam segulung ijazah, bukannya segulung kertas kosong.

Sikap bertangguh juga “memakan diri” beberapa rakan seperjuangan saya sepanjang menuntut di universiti suatu ketika dahulu. Disebabkan sifat bertangguh yang menguasai diri, segala kerja menjadi serba tak kena, “assignment” selalu lewat hantar, ponteng kelas, pergi berjalan sana sini, buat aktiviti yang tak berfaedah, sehingga akhirnya terpaksa “extend” semester. Nak berjaya, buanglah sifat bertangguh. Belajarlah menghargai masa. Elak melakukan perkara sia-sia.

Nak cepat kaya, tapi kerja sikit

Ini juga salah satu sifat yang dah tersemai dalam diri orang Melayu. Kerana ingin menjadi cepat kaya, maka berduyun-duyun orang Melayu masuk skim cepat kaya. Kerana ingin cepat kaya bersama-sama, maka diajak pula saudara mara, jiran sebelah rumah, kawan masa zaman sekolah,

sepupu sepapat melabur dengan skim cepat kaya. Maka, jangan hairanlah jika orang Melayu paling ramai menjadi mangsa penipuan skim cepat kaya. 

Lebih banyak bercakap daripada bekerja

Sifat ini juga harus dibuang dan dikikis dalam diri orang Melayu. Cukuplah mengambil contoh di premis kerajaan yang rata-ratanya terdiri daripada orang Melayu, kita dapat lihat mereka lebih banyak bercakap berbanding membuat kerja. Ada yang berbual-berbual dengan rakan sekerja sambil melayan pelanggan. Ini dapat dilihat di kaunter perkhidmatan kerajaan.

Buanglah sifat ini supaya anda mampu menjadi hebat. Lihatlah orang yang berjaya dan kaya, kebanyakannya tidak banyak bercakap kerana terlalu sibuk bekerja. Mereka hanya bercakap perkara yang penting sahaja di dalam mesyuarat atau bertemu bincang bersama ahli perniagaan yang lain.

Orang Melayu juga hendaklah berhenti bercakap perkara yang sia-sia. Ada antara orang kita yang sanggup menghabiskan masa dari pagi sampailah tengah hari di kedai kopi hanya semata-mata berborak sesama mereka.

Golongan ini begitu lantang bersuara terutamanya isu politik, kewangan dan keluarga. Masing-masing hebat berdebat tapi hakikatnya mereka cuma menghabiskan masa bercakap, bukannya berhabis masa untuk bekerja.

Sifat ini masih lagi menular dalam kalangan masyarakat kita. Apa yang perlu kita lakukan? Tepuk dada, tanya selera.

Cepat putus asa

Ini satu lagi sifat yang membelenggu hidup orang Melayu. Orang Melayu seharusnya kuat, cekal dan tabah menghadapi apa jua cabaran. Berpeganglah pada prinsip untuk tidak mudah berputus asa.

Sering dilihat dalam kalangan masyarakat kita, jika mengalami sedikit kerugian dalam perniagaan, dengan mudah memberhentikan operasi perniagaan. Atau dengan bahasa mudah, “tutup kedai”.

Jika bisnes jatuh, dengan cepat terus berputus asa. Tiada semangat untuk merangka semula strategi perniagaan dan tidak ada usaha untuk memajukannya semula. Ayuhlah, jangan secara cepat berputus asa. Jadikan persaingan dalam pernigaan suatu persaingan yang sihat, bukannya bila bisnes merudum, terus mengalah dan tutup kedai.

Cepat putus asa juga bukan terhad dalam perniagaan sahaja, malah dalam menuntut ilmu juga boleh terjadi. Lihatlah mereka yang berjaya menggenggam ijazah hingga ke peringkat Doktor Falsafah, sudah tentu mereka semua berusaha hingga berjaya dan memerangi habis-habisan sifat berputus asa.

Jika diikutkan sifat berputus asa, sudah pasti mereka tidak akan berjaya seperti apa yang dikecapi pada hari ini.

Hasad dengki

Ini satu lagi sifat yang begitu popular dalam kalangan orang Melayu. Kita dihidangkan dengan begitu banyak cerita yang melibatkan hasad dengki dalam kalangan orang Melayu bermula daripada santau, dengki dalam perniagaan, khianat dan penipuan. Cerita mengenai hasad dengki begitu sinonim dengan masyarakat Melayu.

Bisnes lingkup dikatakan kerana santau, anak demam pun disebabkan dengki orang, sampailah kepada kena pecat kerja pun disebabkan khianat. Oleh itu, perbuatan khianat-mengkhianati, dengki-mendengki seakan-akan sudah menjalar dalam khidupan seharian orang Melayu.

Oleh itu, jika ingin berjaya, buang dan kikislah sifat ini. Perbuatan ini bukan hanya merugikan diri sendiri, bahkan merugikan bangsa kita sendiri. Namun, tak semua orang Melayu mempunyai perangai seperti ini. Cuma segelintir, bukan keseluruhannya.

*Syahmi Minhad ialah pembaca FMT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.