Khamis, 3 Januari 2019

Kelantan tak terima maklumat Agong mahu letak jawatan

 
   

Kerajaan negeri Kelantan menafikan khabar angin yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V akan meletakkan jawatan dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.

"Kerajaan negeri tak ada maklumat. Kalau itu khabar angin, kita janganlah percaya.

"Kita nak terkejut apa sebab khabar angin macam-macam orang cakap. Bukan tentang Yang di-Pertuan Agong saja, tentang kerajaan, kita janganlah termakan dengan romours," katanya ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, isu tersebut tular di media sosial yang mengatakan Sultan Muhammad V akan meletakkan jawatannya.

Bagaimanapun sehingga kini tiada kesahihan mengenai perkara itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai motif pihak tertentu menyebarkan khabar angin tersebut Mohd Amar berkata, perkara itu juga salah satu usaha untuk menjatuhkan maruah kerajaan negeri Kelantan.

"Kalau kita baca dari sudut politik ia memang sebahagiannya untuk menjatuhkan maruah kerajaan negeri. Sebab mereka tahu hubungan kerajaan negeri dengan sultan ini rapat.

"Jadi kalau boleh dikenakan sesuatu terhadap Yang di-Pertuan Agong, boleh dipalitkan sama kerajaan negeri," jelasnya.

Naib presiden PAS itu berkata, sebelum ini Sultan Muhammad V mengambil cuti selama dua bulan atas faktor kesihatan.

"Tak ada apa yang terjadi, disebut baginda bercuti untuk kesihatan. Jadi kita terima macam itulah, takkan kita nak siasatan," kata Mohd Amar.

Tambah beliau, pihak berwajib sepatutnya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan khabar angin sedemikian.

"Pada pandangan saya, oleh kerana banyak sangat tohmahan dan tuduhan kerajaan perlu ambil tindakan. Pejabat Peguam Negara sendiri perlu prihatin dan bertindak.

"Ini bukan melibatkan peribadi sultan, tetapi institusi. Yang di-Pertuan Agong sebagai institusi, jadi perlu dipertahankan dan dijaga kehormatannya.

"Itu tugas peguam negara, dia perlu ambil berat dalam hal ini. Kadang kita tertanya apa yang dibuat oleh peguam negara, sampai tersebar macam-macam tuduhan, maklumat, berita khabar angin dalam media-media sosial.

"Sepatutnya peguam negara ambil berat dan beri perhatian. Apa yang boleh diambil tindakan, kena ambil tindakan dan siasatan.

"Perkara seperti ini sudah lama dibiarkan, orang jadi berani apabila tiada reaksi daripada kerajaan," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.