Selasa, 29 Januari 2019

DAP kawal Yadim untuk lemahkan suara NGO Islam

Oleh Fahmi bin Faiz

Pemantau desak kerajaan batalkan pelantikan Sheikh Omar



BANGI – Pelantikan proksi DAP daripada kalangan orang Islam ke dalam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), dilihat sebagai agenda licik bagi melemahkan suara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu berhaluan kanan.

Presiden Pemantau Malaysia Baru (Pemantau), Datuk Lokman Noor Adam berkata, kemasukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP, Sheikh Omar Ali sebagai anggota pemegang amanah Yadim disifatkan sebagai langkah halus DAP untuk mengubah lanskap politik dan agama tanah air, supaya menjadi lebih terbuka kepada agenda pluralisme, liberalisme dan sekularisme.

“DAP ni licik, mereka rekrut proksi daripada kalangan orang Islam untuk kawal institusi agama kita, sedangkan mereka secara terbuka menuntut dan mendesak agar Malaysia amalkan pluralisme atau kemajmukan agama. Ini boleh dilihat melalui kenyataan ahli mereka, contohnya Zairil Khir Johari yang tulis dalam RoketKini, gesaan agar Malaysia kembalikan pluralisme agama sebagai cara hidup rakyat.

“Dalam isu pelantikan proksi mereka ke dalam Yadim ini, kita kena tegaskan, fungsi Yadim nak selaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta NGO agar berjalan seiring dan sejajar dengan dasar negara.

“Apa maknanya? Maknanya, Yadim ini berpengaruh ke atas hala tuju NGO-NGO di Malaysia. Apa akan jadi bila Yadim kena ‘hijacked’ oleh DAP? Sudah pasti, suara-suara NGO Islam berhaluan kanan akan dibenam oleh parti yang julang idea pluralisme agama, liberalisme dan sekularisme,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Lokman berkata, NGO adalah ‘kuasa ketiga’ yang berpengaruh mewujudkan semak dan imbang kepada kerajaan, dan berperanan menegur salah laku, termasuk yang membabitkan polisi anti-Islam dan Melayu.

Katanya, apabila parti DAP yang memang terkenal sebagai pendukung pluralisme agama berjaya mengawal Yadim, ini sekali gus mengakibatkan suara Islam dan Melayu yang sedia tempang sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah, akan menjadi semakin terpinggir dan disekat.

“NGO ini berperanan besar dalam mencorakkan senario politik tanah air. Buktinya, atas kesepakatan NGO-NGO Islam lah, kita berjaya menganjurkan perhimpunan aman menolak ICERD pada Disember lalu.

“Kerana kelantangan suara NGO-NGO Islam juga lah, kita berjaya memberi tekanan kepada kerajaan supaya tak bertindak biadab terhadap agama dan bangsa kita. Boleh kah kita bayangkan, apabila institusi yang memayungi NGO ini, dikawal oleh DAP?” katanya

Justeru, beliau mendesak agar kerajaan membatalkan pelantikan Sheikh Omar ke dalam Yadim, demi memastikan kelancaran proses demokrasi Malaysia sebagai negara Islam ini tidak dicabul.

“Kerajaan kena bertindak tegas, batalkan pelantikan dia (Sheikh Omar). Jangan sampai kita himpunkan jutaan rakyat untuk menolak pelantikan itu. Malaysia ini negara Islam, lantiklah orang yang memang jelas pro-Islam, bukan individu dari parti yang anti-Islam,” katanya.

Terdahulu, Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengesahkan pelantikan Adun Paloh, Sheikh Omar Ali sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yadim.

Beliau dilaporkan berkata, pelantikan Sheikh Omar itu adalah berdasarkan kelayakannya sebagai seorang yang mempunyai latar belakang agama.

Difahamkan, Sheikh Omar dilantik ke jawatan itu untuk tempoh dua tahun dan watikah pelantikannya akan disampaikan oleh Mujahid di Putrajaya esok.

Pelantikan Sheikh Omar itu dipercayai yang pertama melibatkan pemimpin DAP ke dalam institusi agama berkaitan kerajaan pusat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.