Sabtu, 29 Disember 2018

Ketua wanita PKR: Kritikan Azmin benar, tak bersifat peribadi

MALAYSIAKINI

   

Ketua Wanita PKR Haniza Talha mempertahankan kritikan Mohamed Azmin Ali bahawa pelantikan jawatan bagi kepimpinan parti itu yang diumumkan semalam mengabaikan prinsip "perwakilan yang adil dan saksama".

Beliau berkata ia dapat dilihat dengan kurangnya pemilihan pemimpin wanita dalam senarai yang diumumkan semalam.

"Apa yang dikatakan timbalan presiden (Azmin) benar, yang mana perwakilan yang adil dan saksama juga termasuk sekurang-kurangnya 30 peratus pemimpin wanita," katanya dalam kenyataan hari ini.

"Sayangnya perkara ini seolah-olah dipinggirkan oleh presiden," katanya yang terkilan apabila Anwar menyifatkan kritikan Azmin bersifat peribadi.

Daripada kalangan 14 yang dilantik dalam barisan kepimpinan PKR semalam, hanya seorang wanita yang dipilih - Rayyan Abdul Rahim.

Hanya sembilan pemimpin wanita (16 peratus) yang berada dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu - yang terdiri daripada 40 pemegang jawatan, ketua wanita, ketua pemuda dan 14 pengerusi negeri.

Beliau berharap Anwar selaku presiden tidak bersikap "bias" dan melihat teguran berhubung perkara itu secara positif.

Dalam senarai yang diumumkan semalam, antara yang paling menarik perhatian adalah pelantikan Rafizi Ramli - pencabar Azmin dalam pemilihan lalu - sebagai naib presiden dan Saifuddin Nasution Ismail yang dipilih sekali lagi sebagai setiausaha agung.

Menjawab kritikan Azmin, Anwar hari ini berkata beliau mahu bersikap inklusif dan turut melantik pemimpin daripada kem Azmin.

Sementara itu, naib ketua pemuda Nazree Mohd Yunus dan naib ketua wanita Sangheeta Jayakumar dalam kenyataan bersama turut berharap Anwar meneliti semula pelantikan yang dibuat agar "selaras dengan hasrat akar umbi PKR".

"Pemilihan PKR lalu adalah referendum anggota yang jelas menyatakan aspirasi mereka tentang corak kepimpinan dan masa depan parti yang ingin dilakar," kata mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.