Sabtu, 29 Disember 2018

Izzah: 'Warkah dari Cordoba' tak sesuai, merendah-rendah

MALAYSIAKINI

   
Selepas empat hari Nurul Izzah Anwar akhirnya membuka mulut berhubung 'warkah dari Cordoba' yang dikarang Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof kepadanya.

Menerusi ciapan di Twitter, anggota parlimen Permatang Pauh itu itu sebagai "tidak sesuai dan merendah-rendah".

"Walaupun ia berniat baik, saya sebenarnya sudah memaklumkan kepada beliau bahawa surat terbuka itu tidak sesuai dan bersifat merendah-rendah.

"Lebih baik kita semua fokus kepada isu sebenar," katanya.

Dalam ciapan itu, beliau turut mengongsikan laporan media yang memetik kenyataan Mujahid yang berkata jawapan Nurul Izzah kepadanya adalah rahsia dan tidak akan mendedahkannya.

Surat itu - diterbitkan pada 25 Disember lalu - menjadi topik hangat di media sosial dan turut diparodikan dalam iklan sebuah rangkaian restoran makanan segera.

Ia menjadi perhatian ramai kerana menggunakan kanta ganti nama 'kekanda' dan 'adinda'.

Sehari kemudian, Mujahid berkata beliau "seronok" membaca ulasan di media sosial berkenaan surat itu, dan menjelaskan sengaja memilih gaya bahasa sedemikian untuk menyampaikan mesejnya.

Bagaimanapun di sebalik perhatian terhadap gaya bahasa, Mujahid meminta semua pihak turut menghayati isi kandungannya yang menurutnya mungkin berguna buat generasi muda untuk melalui cabaran politik dalaman yang pernah dilaluinya.

Untuk rekod, Mujahid juga pernah menggunakan kata ganti nama yang sama ketika menulis surat terbuka buat Anggota Parlimen Bachok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.