Rabu, 26 Disember 2018

Kekanda tak dapat tidur? Najib sinis jawab surat Mujahid kepada Nurul


Najib Razak meminta Mujahid Yusof Rawa berdoa jika tidak 
dapat tidur mengenangkan apa yang dilakukan Nurul Izzah Anwar.
 
PETALING JAYA: Warkah dari Cordova oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa untuk Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menerima teguran Datuk Seri Najib Razak.

Menurut bekas perdana menteri itu, kalau tidak dapat tidur, Mujahid, menteri yang menjaga hal ehwal agama itu sepatutnya berdoa.

“Lepas baca warkah Cordova, ‘Kekanda tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan adinda’.
Drama. Dah berapa malam tidak tidur? Kalau masih tidak boleh tidur, bacalah doa mohon kepada Allah untuk mudah tidur dan tenang,” katanya di Facebook.

Najib memetik salah satu ayat dalam warkah itu di mana Mujahid berkata, beliau tidak boleh tidur kerana mengenangkan apa yang dilakukan Nurul Izzah.

Semalam, Mujahid, ketika dalam perjalanan selama 3 jam dari Cordova ke Madrid, Sepanyol menulis surat terbuka kepada Nurul Izzah yang disiarkan kepada umum di Facebooknya.

Dalam warkah yang agak panjang itu, Mujahid, yang juga naib presiden Amanah, merujuk dirinya sebagai “kekanda” dan membahasakan Nurul Izzah sebagai “adinda”.

“Adinda Nurul Izzah. Kekanda amat yakin kebolehan adinda bukanlah kerana ‘menumpang’ nama besar Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pepatah Arab ada mengatakan: ‘Bukanlah anak muda hebat itu yang berbangga tentang kegemilangan ayahnya, tetapi anak muda hebat ialah yang berkata aku adalah aku’.

“Kekanda akan berkata: ‘Adinda adalah adinda dari sudut kehebatan dan kemampuan’,” tulisnya.

Pada 17 Disember lalu, Nurul Izzah membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatannya sebagai naib presiden PKR.

Beliau juga melepaskan jawatan sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang. Bagaimanapun, anak presiden PKR itu kekalkan kekal sebagai ahli PKR dan ahli Parlimen Permatang Pauh.

Anwar yang mengulas keputusan anaknya itu pada 21 Disember berkata Nurul Izzah kecewa dengan tindakan ahli Parlimen keluar parti.

Mengulas mengenai surat tersebut, Mujahid berkata beliau seronok melihat maklum balas yang diterima.

“Seronok saya membaca komen-komen berkisar warkah saya kepada YB Nurul Izzah. Saya sengaja memilih lenggok bahasa begitu untuk menyampaikan mesej saya kali ini.

“Ternyata istilah kekanda adinda lebih menarik perhatian semua. Terima kasih atas teguran semua,” katanya menerusi kiriman Facebook.

Beliau juga meminta semua pihak memahami maksud yang ingin disampaikan melalui surat itu.

“Mungkin berguna buat generasi muda yang melalui liku-liku politik dalaman sama seperti yang saya pernah lalui,” tambahnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.