Oleh Athirah Huda Zalhe
Fikir semula kenyataan minta rakyat beri peluang kepada Moorthy
KUALA LUMPUR
– Ikatan Muslimin Malaysia, sebuah pertubuhan Islam dan Melayu
sederhana menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya
mempertimbangkan semula kenyataannya yang meminta rakyat memberi peluang
kedua kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.
Amir Isma,
Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, Dr Mahathir diingatkan supaya
berfikir semula kenyataan itu, sekali gus tidak menjadikan Kabinet
kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai kandang yang menternak
menteri-menteri melampau.
“Saya
berharap supaya Perdana Menteri berfikir elok-elok. Jangan jadikan
Kabinet kandang ternak menteri-menteri yang melampau,” katanya dalam
sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pertahankan Wilayah Islam
(Pertiwi) 2018 anjuran Isma di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di
sini hari ini.
Ustaz
Abdullah Zaik berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr
Mahathir kelmarin, bahawa petisyen yang digerakkan rakyat bukan arahan
untuk Moorthy meletakkan jawatan.
Malah,
perdana menteri turut meminta rakyat memberi peluang kepada Waytha
Moorthy menjalankan tugas dan membetulkan perkara sebelum bergelar
menteri, termasuk dakwaannya dalam video 10 tahun lalu yang mendakwa
berlaku pelanggaran hak asasi manusia yang serius di Malaysia.
Terdahulu,
tular di media sosial sebuah klip video kenyataan Waytha Moorthy yang
memfitnah dan mengaibkan Malaysia di luar negara dengan membuat dakwaan
berlaku pelanggaran hak asasi manusia, termasuk diskriminasi hak kaum
India.
Waytha
Moorthy mendakwa, rakyat Malaysia yang beragama Hindu telah
didiskriminasi kerana perlu memeluk Islam jika mahu mendapatkan
pekerjaan dalam sektor awam. Dia juga mendakwa rumah ibadat mereka
dirobohkan sesuka hati oleh pihak berkuasa negara.
Waytha
Moorthy mengangkat sumpah Senator pada 17 Julai lalu, dan dilantik
sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi
Nasional).
Kali
pertama dia dilantik Senator ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak
pada 2013 dan menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri,
sebelum meletak jawatan 10 bulan kemudian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.