Sabtu, 17 November 2018

PKR jangan jadi macam laksa tak sedap

Manzaidi Mohd Amin
xMGF17112018_KONGRES-PKR23-1-681x454
Perwakilan Kedah, Datuk Zulkifli Mohamad berbahas pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-13 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
 

SHAH ALAM – PKR jangan jadi macam laksa, banyak bahan tetapi tidak sedap dimakan, tegas pembahas dari Kedah, Datuk Zulkifli Mohamad.

Beliau yang mengambil bahagian dalam perbahasan usul menyokong Ucapan Dasar Presiden PKR hari ini berkata, begitu juga dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjanji 60 perkara, tetap pelbagai alasan digunakan apabila gagal mengotakan janji.

Ucapan beliau yang mendapat tepukan gemuruh para perwakilan turut menjelaskan kepada kepimpinan PKR dan kerajaan PH umumnya, pemimpin akar umbi hilang hala tuju apabila berdepan dengan desakan rakyat,

“Sebanyak 60 janji ditaburkan dalam Manifesto PH. Rakyat tertunggu-tunggu janji itu. Bila kita di kalangan pemimpin akar umbi tanya, pimpinan atasan memberi alasan hutang tak habis lagi, hutang tak habis lagi.

“Mampuih (mampus) kita di kampung nak beri penjelasan pada rakyat. Menteri, Timbalan menteri tak apalah, duk pulun (dapat) gaji puluh ribu sebulan, mereka tak berdepan dengan rakyat.

“Kita hak bawah ni nak jawab apa pada nelayan, pekebun getah, petani dan pekerja kilang yang elaun mereka dipotong,” katanya pada sesi perbahasan usul menyokong Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Keadilan Nasional di Pusat Konvensyen Idea Shah Alam (IDCC) di sini, hari ini.

Zulkifli merayu, jika kerajaan PH tidak dapat tunaikan 10 daripada 60 janji itu, kotakan enam atau tujuh janji pun sudah memadai di awal tempoh mengambil alih kerajaan Persekutuan ini.

Katanya, pemimpin perlu ingat, kerana rakyatlah mereka dapat memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan disebabkan undi mereka juga pemimpin PH menerima gaji antara RM50,000 ke RM60,000 sebulan.

“Tangan merekalah yang undi kita, yang beri gaji pada kita RM50,000, RM60,000 sebulan

“Ambillah kisah akan suara dan penderitaan rakyat seperti petani dan nelayan. Bertindaklah segera sebagaimana usul Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengulas mengenai nasib golongan itu di Dewan Rakyat baru-baru ini,” katanya.

Beliau turut meminta team Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan team Rafizi Ramli bersatu demi pengukuhan parti serta melupakan persengketaan yang berlaku sepanjang tempoh pemilihan PKR baru-baru ini.

“Cantum semula team AA (Azmin Ali) dan team RR (Rafizi Ramli),” katanya

Sementara itu, perwakilan dari Sabah, Mohd Amin Min menuntut dua perkara dari kerajaan Persekutuan PH, iaitu kembalikan 20 peratus royalti minyak dan 40 peratus cukai kepada negeri itu serta Sarawak.
MGF17112018_KONGRES PKR20
Perwakilan Sabah, Mohd Amin Min berbahas pada Kongres 
Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-13 di Pusat Konvensyen 
IDCC Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
Beliau berkata, biar kerajaan Sabah sendiri menguruskan pembangunan fizikal di negeri itu dengan perolehan dari royalti dan cukai.

Katanya, masalah yang dihadapi rakyat kedua-dua negeri berkenaan yang tidak pernah selesai ialah rangkaian jalan raya yang baik menghubungkan mereka ke satu-satu tempat.

“Pembangunan fizikal ini perlukan perhatian dan pembelaan. Masalah jalan raya yang menghubungkan rakyat, bekalan elektrik dan air bersih adalah masalah utama yang dihadapi sejak kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita harapkan apabila PH sudah mengambil alih Sabah, masalah ini akan dapat diselesaikan, bukan jadi seperti kerajaan BN yang terdahulu,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.