Isnin, 26 November 2018

Mufti mahu k'jaan PH tegakkan peraturan dalam bernegara

DENYUT REFORMASI

 
Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mahu tindakan dan peraturan yang tegas dibuat ke atas rumah-rumah ibadat yang dibina tanpa peraturan.

Tanpa menyebut sebarang pembinaan atau kejadian khusus tetapi dipercayai merujuk kepada rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di Subang Jaya, awal pagi ini, katanya, kerajaan wajib menegaskan dan menegakkan peraturan dalam bernegara.

“Pihak berkuasa hanya berdiam. Jika kerajaan yang lepas terlalu menjaga undi sehingga dibiarkan wujud begitu banyak rumah ibadat tidak mengikut peraturan atau secara haram itu, kerajaan hari ini wajib menegaskan dan menegakkan peraturan dalam bernegara.

“Malaysia bukan pakai undang-undang rimba yang mana sesiapa boleh pacak rumah ibadah di mana dia suka. Apatahlagi kadang-kadang jumlah rumah ibadah itu tidak seimbang dengan taburan penganut.

“Sebelum keadaan yang lebih tidak aman berlaku, eloklah kerajaan hari ini membetulkan kesalahan lepas dengan menegakkan undang-undang yang sepatutnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Pada kejadian awal pagi ini, puluhan individu merusuh di kawasan tapak kuil terbabit sebelum tercetus pergaduhan di lokasi berkenaan, malah sebanyak 18 kenderaan dilaporkan turut dibakar.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, siasatan awal mendapati kira-kira 50 lelaki berada di dalam kawasan kuil itu, manakala beberapa individu lain berada di luar pagar kuil.

“Berlaku saling mencaci dan mencabar antara dua kumpulan terbabit. Dua lelaki dalam lingkungan usia 30-an cedera dalam kejadian itu. Selain itu, 18 kenderaan, termasuk dua motosikal di kawasan berkenaan dibakar,” katanya.
Polis juga menemui beberapa parang dan senjata digunakan dalam rusuhan berkenaan. Kejadian itu juga menyebabkan kerosakan di kuil terbabit.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, walau bagaimanapun berkata, kejadian kira-kira jam 2 pagi itu tidak membabitkan unsur perkauman, sebaliknya hanya perselisihan faham antara dua kumpulan.

Katanya, ia adalah kes terpencil berkaitan isu pemindahan kuil terbabit.
Beliau juga meminta orang ramai supaya menghentikan status atau mesej tular yang mengaitkan kejadian berkenaan dengan isu perkauman.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.