PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini mempertahankan kenyatan tentang kejatuhan eksport minyak sawit negara selepas pilihan raya umum ke-14.
Bekas perdana menteri berkata eksport minyak sawit Januari-April tahun ini lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas, tetapi eksport Mei-September tahun ini lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Mengapa Teresa Kok memberi angka-angka dari Januari sehingga September? Cuba kira dari bulan Mei sehingga September, boleh? Naik atau turun?,” katanya di Facebook.
Najib menjawab kenyataan Menteri Industri Utama Teresa Kok yang meminta beliau berhenti mengelirukan orang ramai tentang trend eksport minyak sawit.
Teresa berkata perangkaan eksport Januari-September tahun ini menunjukkan peningkatan 3.6% kepada 18.27 juta tan berbanding 17.63 juta tan tempoh sama tahun lepas.
Najib menyorot perhatian kepada eksport minyak sawit Indonesia yang meningkat setiap bulan berbanding tahun lepas.
“Mengapa tiba-tiba berlaku perbezaan besar untuk trend ataupun corak eksport minyak sawit negara kita dengan Indonesia selepas PRU14?,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.