KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu berhenti mengelirukan orang ramai kononnya terdapat perubahan mendadak dalam trend eksport minyak sawit Malaysia selepas pilihan raya umum ke-14, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.
Katanya, Najib sepatutnya mengetahui isu tersebut dengan lebih baik dan melihat gambaran yang lebih besar daripada mempertikaikan perkara-perkara yang tidak penting.
“Faktanya, perangkaan eksport bagi tempoh Januari hingga September 2018 menunjukkan eksport minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 3.6% kepada 18.27 juta tan berbanding hanya 17.63 juta tan bagi tempoh yang sama pada 2017,” kata Teresa dalam kenyataan hari ini.
Teresa berkata demikian bagi menjawab catatan Najib di Facebook Isnin lepas, yang menyatakan eksport minyak sawit Indonesia meningkat pada setiap bulan berbanding dengan tahun lepas, manakala Malaysia merekodkan kemerosotan.
Najib mendakwa selepas pilihan raya, eksport minyak sawit jatuh pada setiap bulan, kecuali September iaitu selepas kerajaan baharu memansuhkan cukai 5% ke atas eksport komoditi itu.
Teresa berkata Najib sewajarnya tahu komoditi berorientasikan eksport seperti minyak sawit, serta minyak sayuran dan lemak, sentiasa mengalami perubahan dalam harga dan kuantiti eksport.
“Sejak beberapa tahun lepas, wujud ketidakstabilan dalam eksport pasaran komoditi dan ini merangkumi minyak kelapa sawit, harga pula ditentukan oleh pasaran global.
“Beliau sepatutnya tahu mengenai sebab serta faktor yang memberi kesan ke atas harga termasuk eksport minyak sawit dan ini merangkumi, kitaran dalam permintaan serta penawaran, perayaan, lebihan stok dan ekonomi global,” katanya.
Teresa menegaskan industri minyak sawit Malaysia memiliki struktur yang baik serta mampan, ia mempamerkan daya tahan yang kukuh sepanjang 2018, walaupun berhadapan dengan penurunan harga global dan kementerian yakin jumlah eksport minyak kelapa sawit sehingga hujung 2018 akan menjadi lebih baik berbanding 2017.
Kementerian dan agensi-agensinya, Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Majlis Minyak Sawit Malaysia sedang berusaha memperhebatkan langkah-langkah untuk mengembangkan pasaran eksport negara.
“Komitmen ini juga akan memastikan bahawa jumlah dagangan pasaran minyak sawit negara yang secara tradisionalnya tinggi akan mencatatkan pengukuhan semula khususnya pada awal tahun hadapan,” kata Teresa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.