Sabtu, 27 Oktober 2018

Musim tengkujuh diramal melanda negara mulai esok

Astro Awani
Musim tengkujuh diramal melanda negara mulai esok
MetMalaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, dalam tempoh ini, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku.
 
KUALA LUMPUR: Monsun timur laut atau musim tengkujuh yang dijangka mengakibatkan hujan berterusan sehingga tempoh lima hari berturut-turut diramal melanda negara mulai esok (27 Oktober) hingga Mac 2019.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, dalam tempoh ini, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku.
 
"Pada November dan Disember 2018, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. Manakala pada Disember 2018 dan Januari 2019, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di barat Sarawak serta Sabah.

"Hujan lebat berterusan untuk tempoh tiga sehingga lima hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.

"Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang, risiko kejadian banjir akan menjadi lebih buruk," kata kenyataan itu lagi.

Selain itu, luruan monsun pertama yang membawa hujan monsun berterusan di negeri Kelantan dan Terengganu dijangka berlaku pada 30 Oktober hingga 1 November 2018.

Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dan bersiap siaga dalam menghadapi musim tengkujuh ini sentiasa peka dengan Amaran Hujan Lebat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, facebook: malaysiamet, twitter: @malaysianmet dan MMD Hotline di talian 1-300-22-1MET (1638). 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.