Isnin, 1 Oktober 2018

Mansuh AUKU: Maszlee jumpa mahasiswa


Maszlee Malik (tengah) bersama dengan wakil mahasiswa ketika 
perjumpaan berhubung pemansuhan AUKU di Putrajaya.
 
PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Maszlee Malik hari ini berjumpa dengan 12 wakil pelajar universiti awam berhubung cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Kumpulan pelajar terbabit terdiri daripada bekas pemimpin persatuan dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti masing-masing yang diketuai aktivis mahasiwa Asheeq Ali.

Turut kelihatan, beberapa pegawai khas Kementerian Pendidikan.

Perjumpaan ini merupakan perbincangan kali pertama melibatkan golongan pelajar selepas Maszlee memberi jaminan Putrajaya memulakan langkah untuk mansuh AUKU.

Maszlee sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya sedia memberi jaminan kepada golongan mahasiswa untuk terus bersuara.

Menurutnya, hasrat kementerian adalah bagi melahirkan mahasiswa yang kritikal dan berani bersuara.

“Mereka ialah mahasiswa kita, pelapis pemimpin negara kita. Sehubungan itu saya akan umumkan beberapa pendekatan dalam waktu terdekat,” katanya.

Selain itu, langkah tersebut diambil selepas sekumpulan kecil aktivis mahasiswa mengadakan “duduk bantah” di bangunan Kementerian Pendidikan di Putrajaya bagi mendesak Maszlee melepaskan jawatan sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pemansuhan AUKU adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.