Jumaat, 26 Oktober 2018

BUKAN MASA ‘MENGHENTAK’ PRESIDEN UMNO




Ketika Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan supaya Presiden parti itu bercuti, namun Pergerakan Wanita dan Puteri berdiri teguh bersama kepemimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad meminta ahli UMNO agar bertenang dan terus istiqamah bersama parti dalam perjuangan memenangi semula keyakinan rakyat.

“Pada masa yang sama, semua ahli juga mesti berfikiran positif dan bersikap rasional dalam apa juga keadaan.

“Ini termasuklah dalam isu memberi layanan adil sejajar dengan prinsip ‘innocent until proven guilty’ kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Janganlah ahli-ahli UMNO bertindak mengikut emosi dan biarlah proses perundangan berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Pemuda UMNO melalui ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya Ahmad Zahid yang kini berdepan 45 pertuduhan di mahkamah supaya bercuti.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan, berkata Puteri mengutamakan kematangan bertindak dan akan sentiasa berbincang secara kekeluargaan.

Katanya, Puteri UMNO memahami cabaran bakal dihadapi oleh sesiapa sahaja yang menjadi Ketua Pembangkang dan percaya Presiden UMNO mempunyai kebijaksanaan dalam menentukan pendiriannya.

“Puteri juga berpendapat proses undang-udang yang sedang berjalan adalah peluang terbaik untuk Presiden UMNO membersihkan nama beliau.

“Puteri juga akan terus ber-‘Solidariti’, mendoakan dan memberi sokongan moral kepada Presiden parti disaat kita diuji sekarang ini. Puteri terus memberi sokongan kepada Presiden parti untuk mempertahan dan melindungi parti dari terjerumus ke jurang yang lebih berbahaya demi masa depan Agama, orang Melayu dan negara tercinta.

“Kami umpama anak yang tidak tergamak untuk ‘menghentak’ dan menambah beban emosi kepada ‘Ayah’ yang sedang berhadapan masalah ketika menguruskan ‘keluarga besar UMNO’ ini,” katanya dalam satu kenyatan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.