Jumaat, 21 September 2018

NURUL AKUI WUJUD KEM



Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengakui wujudnya beberapa kelompok kem dalam parti itu menjelangnya pemilihan PKR, namun ia adalah budaya biasa dalam sesuatu pertandingan.

Nurul Izzah berkata, setiap pertandingan pasti akan mempunyai individu tertentu yang cuba untuk menang dan mewujudkan kem bagi menarik sokongan.

Bagaimanapun, katanya ia adalah budaya biasa namun meminta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang dilantik sebagai badan bebas pada pemilihan PKR nanti dapat melaksanakan tugas dengan profesional tanpa rasa takut.

“Saya yakin peranan JPP PKR yang fungsinya seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat memainkan peranan penting dan menjalankan tugas dengan memantau perjalanan pemilihan PKR supaya berjalan lancar.

“Saya juga percaya semua calon bertanding dalam pemilihan ini seorang yang profesional apabila mereka menganjurkan majlis berjumpa dengan pengundi bukannya untuk menyerang pihak lawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan amanat pada forum ‘Kalis Masa Depan’ di Seberang Jaya, Butterworth, Khamis malam.

Dalam pemilihan PKR kali ini, Nurul Izzah akan mempertahankan jawatan yang disandangnya dan terbaharu turut menawarkan diri bagi bertanding Ketua Cabang PKR Permatang Pauh.

Secara keseluruhannya, seramai 800,000 ahli PKR di seluruh negara layak mengundi pada pemilihan yang akan berlangsung esok hingga 28 Oktober hadapan.

Proses pengundian akan dimulai dengan ahli PKR dari Pulau Pinang dan Kedah membabitkan 105,056 ahli sebelum diikuti negeri-negeri lain pada tarikh yang berikutnya seperti yang ditetapkan.

Mengulas lanjut mengenai forum yang diadakan itu, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, ia adalah platform untuk dirinya mengetengahkan manifesto untuk ahli yang selama 20 tahun memperjuangkan parti hingga melakar kejayaan.

“Dalam manifesto ini ada tiga perkara yang ditekankan iaitu kalis masa depan, keadilan mempunyai kearifan lokal di kawasan kita wakili dan menjaga kebajikan bersaudara dalam keanggotaan serta bukan keanggotaan.

“Pada masa sama, masih banyak lagi yang perlu diperbaiki parti ini untuk sampai ke tahap memberi lebih kepuasan kepada rakyat,” katanya.

Pemilihan PKR kali ini buat pertama kalinya menyaksikan ahli yang mengundi menggunakan sistem undi secara digital (e-digital) dan memperkenalkan konsep pengundian ‘satu ahli satu undi’.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.