Seorang bekas pemimpin PKR mendakwa Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang diasak secara ‘halus’ oleh pihak dari luar serta dalam parti itu sendiri.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shahrin mendakwa, berlaku perancangan sulit semasa pencalonan pemilihan jawatan tertinggi kepemimpinan parti, selain terdapat beberapa calon yang dibenar bertanding walaupun tidak menetapi syarat yang ditetapkan parti.
“Ada calon mendapat surat izin bertanding dari Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sedangkan syarat layak bertanding perlu jadi ahli sekurang-kurangnya sebulan.
“Dahulu, Majlis Tertinggi parti gubal peraturan serta syarat tertentu sebelum boleh bertanding. Ada sebab kenapa peraturan ini diwujudkan. Kita tidak mahu baru beberapa minggu jadi ahli terus dibenar bertanding.
“Adakah ada unsur campur tangan pihak luar dalam JPP? Saya katakan ya, sebab saya ada bukti serta salinan dokumen,” katanya kepada Watan Online pada Jumaat.
Badrul Hisham yang juga Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata, ‘roh’ reformasi dalam PKR semakin hilang.
“Selepas PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14, landskap politik sudah berubah apabila ramai orang yang mahu menyertai PKR, terutama mereka dari UMNO.
“Kemasukan beribu-ribu ahli baru ini ke dalam PKR telah membawa pengaruh tidak elok. Ahli baharu ini tiada semangat reformasi. Mereka masuk sebab hendak menyelamatkan diri mereka serta mencari tempat ‘selamat’ untuk berlindung,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, beliau akan menulis surat atau akan cuba berjumpa dengan Anwar bagi mengemukakan beberapa bukti berkaitan salah laku pemimpin PKR, JPP serta campur tangan pihak luar dalam pemilihan parti itu.
“Anwar kena segera bertindak sebelum keadaan menjadi parah. Kita dapat melihat ada pemimpin dalam PKR yang jelas hendak melawan Anwar.
“Anwar kena tekan butang merah dan susun semula JPP. Anwar kena segera hentikan gerakan terancang ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.