Sabtu, 22 September 2018

Keracunan alkohol: Tujuh kes baharu dilapor

SINAR HARIAN

 Noor Hisham Abdullah
Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Sebanyak tujuh kes baharu keracunan alkohol dilaporkan di fasiliti-fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, masing-masing enam di Kuala Lumpur dan satu di Perak sehingga tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini sebanyak 76 kes melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Perak direkodkan sejak 15 September.

"Jumlah kematian adalah sebanyak 29 kes iaitu 18 kes di Selangor, sembilan kes di Kuala Lumpur dan dua kes di negeri Perak," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata dalam pada itu, 29 kes kematian dicatatkan melibatkan keracunan metanol membabitkan warga Myanmar (12), Malaysia (9), Nepal (6), Bangladesh dan tidak diketahui status kewarganegaraan (masing-masing satu).

Pada masa yang sama, katanya, 47 kes keracunan metanol yang tidak melibatkan kematian dicatatkan membabitkan warga Nepal (21), Myanmar (10), Bangladesh (lapan), Malaysia (tujuh) dan Indonesia (satu).

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang meneruskan tindakan penguatkuasaan di seluruh negara.

"Setakat ini, sebanyak 262 premis yang menjual arak telah diperiksa dengan 780 botol minuman beralkohol pelbagai jenama termasuk jenama terbabit yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 telah disita,” katanya.

Beliau berkata Seksyen 13 Akta Makanan 1983 menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang mempunyai gejala keracunan metanol seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan dalam tempoh lima hari pengambilan minuman beralkohol perlu segera mendapatkan rawatan di mana-mana klinik atau hospital.-Bernama

 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.