Selasa, 28 Ogos 2018

Penulis buku 1MDB: Saya masih tak faham kenapa mereka begitu berani, bodoh

MALAYSIAKINI

   
Skandal 1MDB yang mendapat perhatian media di seluruh dunia dan di bawah siasatan antarabangsa merupakan salah satu faktor yang menyebabkan kekalahan BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu.

Jurnalis veteran, yang merupakan bekas editor Kinibiz dan kini merupakan kolumnis Malaysiakini, dan merupakan orang pertama yang menulis buku tentang 1MDB mengaku masih berasa keliru dengan semua itu.

"Saya masih susah untuk faham apa yang buat mereka fikir mereka boleh terlepas dengan melakukan perkara itu. Tindakan itu bukan saja berani tapi juga bodoh," katanya pada majlis pelancaran bukunya di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Bagaimanapun, Gunasegaram berkata BN boleh terlepas dari hukuman sekiranya gabungan itu memenangi PRU ke-14.

Bukunya yang bertajuk 1MDB: The Scandal That Brought Down A Government, akan mula dijual di kedai buku dalam negara minggu pertama bulan depan pada harga RM60.

Buku setebal 300 muka surat itu memberi panduan kepada pembaca berhubung skandal 1MDB, sejak ia bermula di Terengganu Investment Authority, model perniagaan 1MDB yang tidak stabil, bagaimana AS$4.5 bilion didakwa diseleweng daripada dana 1MDB, dan usaha BN untuk menutup akibat dari penyelewengan berkenaan.

Buku itu juga menyentuh perincian berhubung bagaimana 1MDB kerugian hampir RM6 bilion dengan salah meletakkan harga pada bon yang dikeluarkannya.

Selain itu, ia juga mengandungi artikel Kinibiz berhubung 1MDB - termasuk artikel penyiasatan pertama ke atas syarikat itu pada Mac 2013.

Buku Gunasegaram itu merupakan yang pertama dari tiga buku berkaitan skandal 1MDB yang direncana untuk diterbitkan.

Wartawan Wallstreet Journal, Tom Wright dan Bradley Hope dijangka menerbitkan buku mereka bertajuk Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World pada 18 Sept.

Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown juga dikatakan akan menerbitkan buku berhubung skandal mega berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.