Rahim semasa krisis politik 1998 mengetepikan
profesionalisme sebagai pegawai tinggi kerajaan dan bertindak mengikut
emosi, kata Johari.
PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR meragui kewajaran melantik Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor sebagai perunding bagi rundingan damai selatan Thailand, memandangkan bekas ketua polis negara itu pernah hilang kawalan semasa krisis politik 1998.
Datuk Johari Abdul khuatir apabila seorang individu yang pernah melakukan kesilapan besar diberi tanggungjawab itu.
“Rakyat akan mempunyai persepsi Rahim akan mengikut arahan tanpa menggunakan kebijaksanaan dalam hal-hal sensitif.
“Sebagai contoh, apabila diarah selesaikan masalah Anwar Ibrahim, Rahim hilang pertimbangan sebagai seorang ketua polis negara yang sepatutnya menjunjung etika dan undang-undang,” katanya.
Johari berkata Rahim mungkin ada hubungan dengan pihak tertentu di Thailand yang boleh membantunya dalam usaha rundingan damai nanti, tetapi Ahli Parlimen Sungai Petani tidak percaya tiada orang lain yang lebih cemerlang.
“Ramai lagi bekas pegawai tinggi polis, tentera dan diplomatik yang terbukti cemerlang semasa berkhidmat yang boleh menjalan tugas ini,” katanya.
Rahim menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim yang dilantik oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini sebagai fasilitator rundingan damai antara Bangkok dengan pejuang Islam di selatan Thai.
Beliau merupakan ketua polis negara pada 1998 apabila pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangkap dan diserang ketika dalam tahanan oleh Rahim sendiri.
Berikutan penahanannya pada 20 September 1998, Anwar memeranjatkan rakyat Malaysia apabila muncul di mahkamah dengan mata lebam walaupun sebelum itu Rahim memberi jaminan bekas timbalan perdana menteri itu berada dalam keadaan selamat dalam tahanan polis.
Semasa perbicaraannya, Rahim memberitahu mahkamah beliau diprovokasi oleh Anwar. Beliau bagaimanapun didapati salah dan dijatuhi hukuman penjara 2 bulan.
Pada 2005, Rahim meminta maaf atas tindakan itu kepada Anwar dan keluarganya.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Tian Chua berkata konflik di Thailand yang berlarutan sekian lama memang memerlukan seorang yang berpengalaman dan boleh berdepan dengan permasalahan itu bagi tempoh yang lama.
“Saya tak berani komen Rahim layak atau tidak. Saya tidak mengambil apa yang sudah lepas tapi, jika boleh, pilih orang baharu yang boleh buat kerja ini secara berterusan sebab proses ini ambil masa panjang.
“Untuk selesaikan satu konflik dengan asal usul yang panjang memerlukan masa dan banyak langkah-langkah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.