ULASAN | Minggu lepas, kerajaan mengumumkan bahawa pertumbuhan KDNK (GDP) negara untuk suku kedua merosot dengan teruk dari 5.4 peratus sehingga 4.5 peratus - jauh di bawah kesemua unjuran pakar analisa ekonomi.
Kejatuhan sebegini agak membimbangkan kerana kadar pertumbuhan suku kedua kini di bawah paras negara Indonesia dan Thailand yang sebelum ini lebih rendah dari kita.
Walaupun bukan lagi perdana menteri, halatuju ekonomi negara masih merupakan keutamaan saya.
Oleh itu saya mengambil sedikit masa untuk meneliti data-data dan pengumuman kerajaan untuk fahaman lebih mendalam.
Pertumbuhan KDNK bagi suku kedua mungkin lebih rendah kerana semua sektor ekonomi telah menunjukkan kejatuhan yang berpunca dari banyak projek-projek telah dihentikan tetapi diselamatkan oleh sektor permintaan dalam negara (domestic consumption) apabila GST disifarkan yang mengalakkan lebih banyak pengguna untuk membeli.
Tetapi keadaan ini tidak akan berpanjangan kerana cukai SST akan bermula bulan depan.
Pelaburan langsung asing (FDI) juga menurun dari RM12 bilion pada suku pertama kepada RM2.8 bilion manakala pelaburan portfolio (iaitu saham dan bon) telah menunjukkan pengaliran keluar sebanyak RM38.3 bilion pada suku kedua berbanding pengaliran ke dalam sebanyak RM2.5 bilion untuk suku pertama.
Rizab antarabangsa BNM yang diumumkan setiap dua minggu terus jatuh setiap kali diumumkan semenjak PRU14 daripada AS$110 bilion kepada AS$104.2 bilion pada 15 Ogos.
Kejatuhan nilai ringgit
Matawang ringgit juga telah menyusut 25 sen kepada RM4.10 berbanding RM3.85 pada bulan April sebelum pilihan raya.
Nilai ringgit banyak bergantung kepada harga minyak dunia. Beberapa tahun dahulu semasa saya perdana menteri, ringgit juga jatuh di bawah RM4.10 semasa harga minyak dunia sangat rendah sehingga di bawah AS$30 satu tong.
Tetapi ringgit yang lemah kini ialah ketika harga minyak dunia jauh lebih tinggi pada tahap AS$75 satu tong. Tidak mustahil nilai ringgit akan lebih lemah lagi jika harga minyak dunia jatuh sekali lagi.
Banyak juga yang membimbangkan. Lebihan dagangan antarabangsa juga jatuh teruk dalam bulan Mei dan Jun kepada RM6 bilion iaitu setengah daripada lebihan RM13 bilion untuk bulan April kerana jumlah import kita telah naik dengan pesat manakala kadar pertumbuhan ekspot kita telah menurun. Ini mungkin disebabkan oleh GST disifarkan dan menyebabkan pengguna menjurus kepada pembelian barang import.
Oleh itu, lebihan akaun semasa kita telah jatuh dari RM15 bilion daripada suku sebelumnya kepada RM3.9 bilion. Lebihan akaun semasa ini amat penting. Jika ia menjadi negatif, mungkin penarafan kredit negara (sovereign credit rating) akan terkesan.
Kadar pengangguran turut menunjukkan peningkatan sedikit pada bulan Jun disebabkan mereka yang tiada kerja telah naik sebanyak 17,000 orang berbanding bulan April.
Eksport sawit turun setiap bulan
Pendapatan kerajaan juga menurun kepada RM14.1 bilion pada bulan Jun berbanding RM20.9 bilion pada bulan sebelumnya. Ini mungkin kerana GST sudah mula disifarkan.
Hasil yang semakin menyusut tentu akan memberi tekanan kepada kerajaan dan menyebabkan keupayaan kerajaan untuk menyelamatkan negara dan membantu rakyat akan lebih lemah.
Di sebalik harga minyak sawit yang sudah menurun, jumlah ekspot minyak sawit juga turun dengan teruk setiap bulan selepas PRU14.
Eksport minyak sawit bulan Julai adalah 17 peratus lebih rendah berbanding tahun sebelumnya manakala jumlah eksport bagi bulan Ogos dijangka rendah sebanyak 26 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu.
Kadar inflasi akan naik
Kadar inflasi untuk bulan Jun pada kadar 0.8 peratus dan naik kepada 0.9 peratus bagi bulan Julai.
Manakala inflasi makanan untuk bandaraya Kuala Lumpur sebanyak 3.5 peratus pada bulan Julai membuktikan harga barang-barang masih naik selepas GST dimansuhkan. Kadarnya positif dan bukan negatif bermakna harga masih naik.
Kadar inflasi ini tentu akan naik lebih tinggi pada bulan September apabila cukai SST diperkenalkan.
Mereka yang arif ataupun ada minat dalam bidang ekonomi pasti tahu dan memahami bahawa kesemua petunjuk-petunjuk ini adalah tidak baik dan jika berterusan, agak merisaukan dan mungkin boleh bertambah buruk.
Walaupun saya hairan mengapa prestasi ekonomi telah bertukar hala dan merosot begini selepas PRU14, adalah tidak adil untuk menilai prestasi kerajaan baru berdasarkan cuma 4 bulan sahaja tetapi sudah tentu dasar-dasar dalam dan luar negara kerajaan baru ada kesannya.
Apa-apa pun, saya berdoa untuk ekonomi negara terus maju dan kerajaan baru ini akan memantau data-data ini dengan teliti supaya peluang pekerjaan dijanakan, inflasi terkawal apabila SST bermula dan kita tidak jatuh ke dalam kemelesetan ataupun krisis ekonomi dalam jangka pendek seperti yang diramal oleh beberapa pakar ekonomi bank.
*DATUK SERI NAJIB RAZAK ialah bekas perdana menteri keenam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.