ULASAN | Walaupun suhu di dewan persidangan dewan undangan negeri (DUN) Kelantan dingin oleh alat penyaman udara, wartawan yang berada di bilik media tetap ternanti-nanti 'hangat' yang diperlukan.
Jika sebelum ini ruang berkenaan menjadi tempat untuk media menyiapkan berita 'sedap' namun kali ini kehangatan itu tidak menjelma.
Selalunya suasana yang dinantikan itu hadir pada sesi perbahasan atau soal jawab. Sekurang-kurangnya begitulah pada sidang DUN yang lalu.
Namun, pada sesi pertama sidang DUN Kelantan untuk penggal ke-14 yang berakhir semalam, semuanya berjalan lancar dan harmoni.
Tiada lagi kelibat seperti Husam Musa atau Datuk Nozula Md Diah.
Kedua-dua tokoh tersebut ialah watak yang sering menghangatkan suasana - jika pun tidak memanaskan hati kerajaan negeri.
Pada penggal lalu Husam dan Nozula mempunyai tempat dalam DUN Kelantan kerana mereka masing-masing mewakili kerusi Salor dan Paloh.
Ada curahan emosi
Selepas PRU ke-14 susuk bernama Husam dan Nozula sudah hilang dari perjalanan sidang DUN. Justeru suhu di kamar itu menjadi lebih dingin berbanding sebelum ini.
Tidak seperti penggal lalu, persidangan kali ini hanya melibatkan pertembungan dua hala yang mudah, iaitu barisan wakil kerajaan negeri dan PAS, manakala di sisi bertentangan ADUN Umno yang menjadi pembangkang.
Bagaimanapun di sebalik kedinginan itu tahniah wajar diucapkan kepada kedua-dua pihak kerana berjaya memperlihatkan toleransi yang tinggi sepanjang sidang berlangsung.
Cuma, untuk masa depan, tidak akan muncul lagikah watak-watak yang dapat memanaskan suasana dewan?
Jika itu yang berlaku tentu ramai juga yang akan merindui gaya agresif Husam serta sentimental seumpama Nozula.
Husam yang kini dilantik menjadi naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) sebelum ini sentiasa diberi perhatian penuh pada setiap kali kelibatnya muncul di sidang DUN Kelantan.
Begitu juga Nozula, bekas ketua pembangkang yang biasa mengejutkan wartawan dan rakan-rakan seperjuangannya dengan curahan emosi.
Jika diimbas kembali, sama ada Husam atau Nozula masing-masing pernah dihalau dari dewan oleh speaker. Malah ada ketikanya ada air mata yang menitis.
Kelantangan Husam - khususnya selepas tidak lagi bersama PAS - berbahas dan mengkritik kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri pastinya akan dirasai.
Belum tentu lagi
Begitu juga dengan Nozula sebagai ADUN paling lama di kalangan wakil BN.
Kini, selepas era pentadbiran BN di Putrajaya terkubur, di Kelantan juga mencatatkan sejarah tersendiri.
Jika dulu 'lawan' mereka ialah parti yang sama di peringkat pusat atau negeri, kini PAS terpaksa merencana langkah untuk menyesuaikan pencaknya.
Di Kelantan mereka berdepan BN sebagai pembangkang manakala di Putrajaya bertakhta Pakatan Harapan sebagai kerajaan.
Justeru, dengan amalan politik matang dan sejahtera yang menjadi pegangan PAS - dan disambut baik oleh Umno sebelum ini - dijangkakan sidang DUN Kelantan seterusnya akan terus 'dingin'.
Kebarangkalian untuk melihat wujudnya sergahan lantang dalam isu balak, kontrak projek dan soalan-soalan menyebabkan wakil-wakil kerajaan negeri panas punggung semakin samar.
Speaker DUN, Datuk Abdullah Ya'akub berkata walaupun tanpa kelibat watak yang selalu memanaskan keadaan sebelum ini semua wakil rakyat tetap perlu mematuhi peraturan ditetapkan.
Menyifatkan perjalanan sidang DUN kali ini berjalan dengan lancar, Abdullah berkata, pada sesi akan datang keadaan itu belum tentu kekal.
"Kita harap tidak panas, tapi belum tentu lagi.
"Situasi ini mungkin juga sebab kerajaan pusat tidak ada wakil mereka di dalam DUN, " katanya.
N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.