Isnin, 23 Julai 2018

PKR pecat 1 ketua cabang, 6 lagi digantung



PKR mengambil tindakan ke atas 8 pemimpin itu kerana terbabit dalam masalah disiplin sepanjang PRU14.


PKR melarang 8 pemimpin itu terlibat dalam sebarang aktiviti parti di semua peringkat.

PETALING JAYA: PKR memecat Ketua Cabang Pasir Salak, Noor Azwan Ramli kerana melakukan kesalahan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, parti itu turut menggantung keahlian 5 ketua cabang di Perak dan seorang pemimpin Pemuda di Negeri Sembilan selama 2 tahun kerana terbabit masalah disiplin sepanjang PRU14.

Mereka adalah Ketua Cabang Tapah, Audanan Talib, Ketua Cabang Lenggong, Id Azalan Shah Banyamin, Ketua Cabang Gerik, Meja Kaha Othman, Ketua Cabang Parit, Usaili Alias, Ketua Cabang Kuala Kangsar, Mohd Khair Mohd Zainal dan pemimpin Pemuda PKR Negeri Sembilan, Shanmugam Marimuthu.

Katanya, Ketua Cabang Padang Rengas, Alias Ibrahim pula diberikan amaran keras.

“Dengan keputusan ini, semua nama yang dinyatakan di atas tidak dibenarkan terlibat dalam aktiviti parti di semua peringkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Lembaga Disiplin PKR menjalankan siasatan selepas menerima aduan berkaitan masalah tatatertib dan disiplin pemimpin terbabit pada PRU14.

Katanya, mesyuarat Biro Politik yang dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 10 Julai lalu menerima cadangan yang dikemukakan Lembaga Disiplin.

Fahmi berkata, 8 pemimpin itu boleh mengemukakan rayuan kepada Majlis Pimpinan Pusat dalam 14 hari dari tarikh keputusan diumumkan.

“PKR memandang serius sebarang tindakan dan salah laku anggota parti yang melanggar keputusan parti.

“Bukan itu sahaja, parti juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana anggota parti yang memburukkan nama PKR.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.