Isnin, 23 Julai 2018

Menteri: 18 penjawat awam kanan dihentikan setakat ini

 
Liew Vui Keong berkata, kontrak 17 daripadanya dipendekkan.
 
 
 
Liew Vui Keong berkata, Putrajaya turut menamatkan kontrak 2 ahli lembaga pengarah Tenaga Nasional Bhd dan pengarah urusan Malaysia Airports Holdings Bhd.

PETALING JAYA: Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan menamatkan perkhidmatan 18 penjawat awam kanan daripada pelbagai kementerian sejak mengambil alih Putrajaya selepas pilihan raya umum ke-14, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Daripada jumlah itu, kontrak 17 individu dipendekkan. Kontrak seorang penjawat awam kanan dari Jabatan Perdana Menteri ditamatkan atas dasar “kepentingan awam”.

Daripada 17 individu yang dipendekkan kontrak itu, 8 datang dari Jabatan Perdana Menteri diikuti 5 dari Kementerian Luar. Baki datang dari Kementerian Kewangan (2) dan masing-masing seorang dari Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Liew menjawab soalan Hasbullah Osman (BN-Gerik) yang ingin tahu berapa ramai eksekutif kanan dalam sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dihentikan.

Katanya, sehingga 9 Julai lalu, Putrajaya turut menamatkan kontrak 2 ahli lembaga pengarah Tenaga Nasional Bhd dan seorang pengarah urusan Malaysia Airports Holdings Bhd.

“Bagi Menteri Kewangan Diperbadankan, kontrak bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dipendekkan kerana melanggar kontrak dan kewajipan fidusiari,” katanya sambil menambah 24 ahli lembaga pengarah Menteri Kewangan Diperbadankan turut meletak jawatan secara sukarela.

Pada 16 Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kira-kira 17,000 kakitangan kontrak lantikan politik akan dipecat dalam usaha mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

“Terlampau banyak kakitangan kontrak. Ada diberi kontrak kerana keperluan pentadbiran dan ada kerana politik. Lantikan politik akan kita tamatkan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.