SEBAGAI Daulah Islam yang pertama di Nusantara dan berdiri selama 452 tahun, Perlak terpaksa juga melalui perit dan getir dalam mempertahankan kelangsungannya. Seperti mana runtuhnya beberapa Daulah Islam yang besar ketika itu seperti Daulah Ummayah (750M), Fatimiyah (1179M), Ayubiyyah (1250M) dan Abbasiyah Baghdad (1258M), akhirnya Perlak turut mengalami nasib yang sama. Salah satu faktor utama kelemahan dan keruntuhan Perlak ialah akibat serangan besar-besaran yang dilakukan oleh Sriwijaya dalam perluasan pengaruh mereka. Namun begitu, keruntuhan Perlak bukanlah dalam erti kata runtuh yang sebenar, tetapi kerajaannya diserap masuk dalam Kerajaan Samudera-Pasai kerana ketiadaan waris takhta. Percantuman Perlak ke dalam Samudera-Pasai telah menamatkan sejarahnya yang berusia hampir setengah abad itu.
Sepanjang sejarah Perlak selama 452
tahun, tidak banyak krisis dan pergolakan besar yang berlaku, sekali gus
membolehkan kerajaan ini bertahan dalam tempoh yang lama, walaupun ia
adalah Kerajaan Islam yang pertama di Nusantara. Krisis terbesar yang
dihadapi pada hujung abad kesembilan Masehi dan berlanjutan lebih
sedekad, adalah kerana pertembungan antara Sunni dan Syiah. Kejayaan
kelompok Sunni menguasai Perlak telah menamatkan sama sekali pengaruh
Syiah di Nusantara dan seluruh rantau ini menjadi Wilayah Sunni. Selepas
krisis Sunni-Syiah berakhir, hampir tidak ada catatan berkait dengan
krisis-krisis dalam negara di Perlak, sehinggalah Sultan Makhdum
Alaiddin Malik Mohamad Amin Shah Johan Berdaulat II (1230-1267M)
bersemenda dengan Raja Samudera yang menyebabkan kerajaannya diserap
masuk ke dalam wilayah yang baru di-Islamkan itu.
Krisis Syiah-Sunni: Perpecahan awal
Kemasukan pengaruh Sunni di Perlak
ekoran penubuhan Dayah Bukit Ce Breek pada zaman Sultan Sayyid Abdul
Rahim Shah (864-888M) telah menggugat kestabilan politik Perlak yang
beraliran Syiah sebelumnya. Para ulamak yang dibawa dari Parsi dan Arab
ke Perlak untuk mengajar di dayah tersebut telah menyebarkan fahaman
Sunni, terutama kepada keluarga Meurah Shahrun Nuwi. Ini menyebabkan
timbul krisis takhta selepas kewafatan Sultan Sayyid Abdul Rahim Shah
pada 888M di mana Sultan Sayyid Abbas Shah (888-913M) mulai tergugat
dengan gerakan untuk menaikkan semula keturunan Meurah Shahrun Nuwi
menggantikan keturunan Sayyid Ali. Ketika Sultan Sayyid Abbas wafat pada
913M, perebutan takhta telah membawa kepada pergolakan dan perang
saudara. Perang ini berlangsung selama dua tahun, yang berkesudahan
dengan kemenangan Dinasti Sayyid, lalu Sultan Sayyid Ali Mughyat Shah
(913-918M) dapat menjadi Raja. Namun, ia mengakibatkan Perlak berpecah
dua kepada Perlak Pesisir dan Perlak Pedalaman.
Perlak Paroh di Selatan yang dikuasai
oleh Sultan Sayyid Ali Mughyat Shah menjadi Kerajaan Syiah, sedangkan
Perlak Tunong di Utara dikuasai oleh Sultan Makhdum Malik Ibrahim yang
beraliran Sunni. Selepas kematian Sultan Sayyid Ali Mughyat Shah pada
918M, berlaku semula pergolakan perang saudara selama hampir 10 tahun,
sehingga Sultan Makhdum Malik Abdul Kadir yang beraliran Sunni dapat
menguasai dan menyatukan kedua-dua kerajaan pada 928M dan pihak Sunni
menjadi kerajaan baru di Perlak di bawah Dinasti Johan Berdaulat, iaitu
keturunan Meurah Shahrun Nuwi. Sejak Dinasti Johan Berdaulat dapat
menguasai kerajaan, boleh dikatakan hampir tiada lagi pergolakan yang
melibatkan perebutan takhta. Salah satu faktor yang membolehkan
penyatuan semula Perlak ialah kerana gerakan yang dilancarkan oleh
Sriwijaya untuk meluaskan jajahan mereka ke Utara, sehingga Wilayah Deli
dan Aru dapat dikuasai, termasuk jatuhnya Kerajaan Langkasuka di
Semenanjung Tanah Melayu ke tangan Sriwijaya. Demi mempertahankan
kelangsungan politik Perlak, wilayah yang berpecah ini bersatu semula di
bawah Sultan Makhdum Malik Ibrahim Shah Johan Berdaulat (986-1023M).
Serangan Sriwijaya dan Penyatuan Perlak
Pada akhir alaf pertama Masehi, Kerajaan
Buddha Sriwijaya telah melakukan perluasan wilayahnya ke bahagian Utara
Nusantara meliputi Utara Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu hingga
ke Ligor. Berdasarkan Prasasti Ligor (775M), perluasan Sriwijaya ke
bahagian Utara ini berlaku pada akhir abad kelapan Masehi. Sebelum ini,
Sriwijaya telah menguasai Minangatamwan (Jambi) pada 658M, sebelum
menjajah Kedah (682-685M) dan menyerang Jawa pada 686M. Kejayaan
perluasan ini telah mendorong Sriwijaya untuk menguasai Utara Sumatera,
dan dikatakan serangan Sriwijaya ke atas Perlak berlaku pada zaman
Sultan Malik Ibrahim Shah Johan Berdaulat (986-1023M), di mana serangan
telah berlaku selepas kewafatan Sultan Abdul Malik Shah Johan
Berdaulatan (856-983M). Disebabkan oleh serangan Sriwijaya ini, Raja
baru Perlak tidak dapat bertakhta sehingga baginda dapat menyatukan
semula semua Wilayah Perlak yang berpecah kerana isu Sunni-Syiah
sebelumnya. Raja Sriwijaya, Raja Sri Sudamaniwarmadewa dan Raja
Marawijayo Tunggawarman telah menyerang Perlak dan mengadakan hubungan
rapat dengan Kerajaan Chola di India, untuk mengepung Wilayah Islam ini.
Ketika Sriwijaya sedang mengepung
Perlak, sebagai wilayah terakhir yang akan dikuasai selepas Kedah,
Langkasuka dan Ligor dikuasai oleh mereka, di Selatan Sriwijaya berlaku
serangan daripada Dharmawangsa pada 1006M, diikuti oleh serangan Chola
ke atas Sriwijaya pada 1007M. Keadaan ini memaksa Sriwijaya meninggalkan
Perlak tanpa mencapai kemenangan. Sebahagian pengkaji mengatakan
serangan Sriwijaya ini memberi kesan besar terhadap kelangsungan kuasa
Perlak ke atas wilayah-wilayah kecil di Aceh. Kekuatan Perlak telah
terjejas sehingga ia menjadi salah satu punca kemerosotan kerajaan ini
kemudiannya. Namun begitu, walaupun Perlak mengalami kerugian tentera,
politik dan ekonomi yang besar akibat serangan ini, dari sudut yang
lain, Sultan Perlak berjaya menjadikan serangan ini asas untuk
menyatukan kembali Perlak dan menamatkan pergolakan dalaman, sehingga
Perlak dapat berdiri kukuh di bawah Dinasti Johan Berdaulat ini untuk
200 tahun sehingga 1292M.
Pembubaran Perlak dan kemunculan Samudera-Pasai
Sultan Makhdum Aladdin Muhammad Amin
Shah Johan Berdaulat II (1230-1267M), telah melalukan hubungan
diplomatik dengan Raja-raja sekelilingnya untuk mengukuhkan kedudukan
kerajaannya. Dikatakan, baginda mengahwinkan dua puterinya dengan
kerajaan-kerajaan sekitar, termasuk mengahwinkan puterinya, Puteri
Ganggang Sari (Puteri Raihani) dengan Raja Pasai, Meurah Silu.
Perkahwinan politik ini merapatkan hubungan kedua-dua kerajaan yang
telah Islam. Selepas, kewafatan Sultan Muhammad Amin Shah Johan
Berdaulat pada 1267M, putera baginda, Sultan Makhdum Aladdin Malik Abdul
Aziz Shah Johan Berdaulat (1267-1292) telah menjadi Sultan. Selepas
kematian Sultan Malik Abdul Aziz Shah Johan Berdaulat, iparnya, Meurah
Silu, Raja Samudera-Pasai telah bertindak menggabungkan Kerajaan Perlak
ke dalam Kerajaan Samudera-Pasai untuk membentuk sebuah Kerajaan Islam
yang lebih besar. Sejak itu, berakhirlah sejarah Kerajaan Perlak sebagai
Daulah Islam yang pertama di Nusantara.
Keseluruhannya, Kerajaan Perlak yang
berdiri sejak 840M adalah Kerajaan Islam yang pertama di Alam Melayu.
Pada peringkat awal, Islam yang berkembang adalah beraliran Syiah yang
didukung oleh Dinasti Sayyid, sebelum Dinasti Johan Berdaulat
mengembangkan mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah. Walaupun Perlak adalah
sebuah Kerajaan Islam yang baru dan terawal di Nusantara, mereka telah
berjaya melaksanakan Syariat, membangunkan pendidikan Islam dan
mengembangkan dakwah ke seluruh Nusantara. Dalam tempoh 452 tahun ini,
walaupun terpaksa berhadapan dengan beberapa krisis, perebutan takhta
dan serangan luar, namun Perlak tetap menjadi sebuah pelabuhan yang
terkenal pada abad ke-10 hingga 13M yang dikunjungi oleh pedagang dari
China, India, Arab, Parsi dan Alam Melayu sendiri, sehingga ia menjadi
pemangkin kepada perkembangan Islam.
*MOHD FADLI GHANI, Pusat Penyelidikan PAS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.