Ahad, 1 Julai 2018

Ketua Wanita Umno cabar MP keluar parti lepas jawatan, buat PRK

MALAYSIAKINI

   

Ketua Wanita Umno yang baru dilantik Datuk Dr Noraini Ahmad mencabar anggota parlimen yang keluar Umno untuk melepaskan jawatan mereka dan mengadakan pilihan raya kecil.

"Jika benar wakil-wakil rakyat BN ini benar-benar hilang kepercayaan terhadap Umno, Wanita Umno mencabar supaya mereka melepaskan jawatan anggota parlimen untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil diadakan kerana kepercayaan rakyat mesti dihormati dan mereka mesti diberi hak untuk memilih wakil rakyat yang mewakili parti yang mereka percayai," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Noraini berkata demikian sebagai mengulas Anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Anggota Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasah serta Anggota Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang keluar Umno.

"Keputusan ketiga-tiga wakil rakyat ini terutamanya Mas Ermieyati untuk menjadi wakil rakyat bebas ini ternyata telah mengkhianati kepercayaan pengundi-pengundi yang telah memilih mereka yang mewakili Umno dan BN.

"Mas Ermieyati juga dengan mudah melupakan kerja kuat seluruh jentera Jalinan Rakyat dan BN yang bertungkus lumus semasa kempen PRU-14 sehingga beliau berjaya menang kerusi Parlimen Masjid Tanah..

"Wanita UMNO ingin mengingatkan Mas Ermieyati dan wakil-wakil rakyat BN yang lain bahawa status Ahli Parlimen yang disandang bukanlah hanya kerana diri mereka sendiri tetapi ia merupakan kombinasi kerja kuat jentera Jalinan Rakyat dan kepercayaan rakyat terhadap Umno dan BN.

"Jika ada masalah atau isu dengan kepimpinan dan perjalanan UMNO, perkara ini patut dibincang bersama dengan baik di dalam UMNO hingga ke peringkat tertinggi. Jangan gunakan ketidakpuasan hati ini untuk keluar parti dengan alasan hilang kepercayaan," katanya.

Mas Ermieyati merupakan anggota parlimen umno yang terbaru mengumumkan keluar parti hari ini, dengan menyatakan kekecewaan terhadap pemilihan parti yang menyaksikan pemimpin lama dikekalkan.

Noraini berkata Wanita Umno akan berbincang dengan pasukan undang-undang parti bagi memastikan tiada lagi anggota parlimen yang keluar parti.

"Pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat yang memilih BN oleh ahli-ahli parlimen dan ADUN yang melompat parti atau pun keluar menjadi bebas perlu dihentikan. Kepercayaan rakyat tidak boleh dijadikan alat untuk seseorang individu melunaskan kehendak politik peribadi," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.