Ahad, 1 Julai 2018

Imigresen akan bincang dengan kedutaan selesai isu lambakan PATI

 
Mustafar Ali berkata, Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI yang berakhir semalam, tidak akan dilanjutkan. 


Jabatan Imigresen bekerjasama dengan agensi lain mengadakan Ops Mega 3.0 memburu PATI di Lebuh Pudu, hari ini.


KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen akan mengadakan perbincangan dengan kedutaan terbabit bagi menyelesaikan isu lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) secara baik.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI atau Program Rehiring yang mula dilaksanakan pada 15 Februari 2016 dan berakhir semalam, tidak akan dilanjutkan.

Mengenai bantahan yang akan diadakan majikan di luar Kementerian Dalam Negeri esok, beliau menasihatkan majikan tidak menyalahkan pihak berkuasa kerana masa secukupnya sudah diberikan kepada mereka untuk mendaftar dalam Program Rehiring.

Program Rehiring dijalankan Jabatan Imigresen untuk memberi permit kerja kepada PATI secara sah bagi memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan, iaitu sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.
Susulan berakhirnya Program Rehiring semalam, program serah diri secara sukarela yang lebih dikenali sebagai Program 3+1 akan diteruskan sehingga 30 Ogos ini dan disusuli operasi memburu PATI serta majikan yang masih berdegil.

Mustafar berkata, pihaknya bersama beberapa agensi lain mengadakan Ops Mega 3.0 hari ini untuk membanteras lambakan PATI demi melindungi keselamatan dan kedaulatan negara.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas 1,672 warga asing dalam operasi itu, 229 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, sebanyak 483,683 permohonan diproses dengan 110,489 pemohon diberikan pas kerja sementara.

“Kita difahamkan ada yang lari ke dalam hutan menyorok dan sebagainya…kita beri peluang kepada mereka serah diri, jika tidak kita ambil tindakan,” katanya selepas menyertai Ops Mega 3.0 memburu PATI di Lebuh Pudu.

Mustafar berkata, daripada 19,969 PATI yang ditahan Imigresen mulai 1 Januari lalu hingga semalam, warga Indonesia paling ramai, iaitu 6,871 orang.

“Seramai 536 majikan dikenakan tindakan, termasuk tindakan mahkamah, hukuman sebatan terhadap majikan yang masih berdegil dan langkah lain, termasuk membekukan aset mereka di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya sambil menambah Ops Mega 3.0 akan dijalankan secara berterusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.