Bernama / ASTRO AWANI
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk menambah baik akta tersebut bagi mendakwa pemburu haram dengan sewajarnya.
"Kalau dengan mengukuhkan akta, baru penguatkuasaan boleh ditingkatkan, kita akan buat (pindaan) kerana difahamkan akta yang ada sekarang tidak memudahkan proses penguatkuasaan berlaku.
"Pindaan ini mungkin melibatkan penambahan hukuman denda kepada dua kali ganda daripada sebelum ini, tetapi apa saya lihat ada mereka boleh bayar jadi kita juga mesti masukkan hukuman penjara yang dilihat lebih efektif untuk berhadapan isu ini," katanya.
Hari Harimau Sedunia disambut pada 29 Julai setiap tahun bertujuan memupuk kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan harimau kepada masyarakat dunia.
Menurut Xavier, kementerian juga akan meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa seperti polis dan tentera untuk bersama-sama membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti WWF dalam membanteras sindiket pemburuan hidupan liar di seluruh negara.
Katanya menerusi operasi yang dijalankan, Perhilitan menemui pelbagai spesis haiwan yang cedera termasuk harimau, tapir dan gajah akibat terkena jerat wayar dipasang pemburu haram.
Sejak 2014 sehingga Jun lepas, Perhilitan memusnahkan lebih 2,890 jerat menerusi 479 operasi jerat yang dilaksanakan.
Justeru, beliau berharap syarikat korporat dapat bersama-sama membantu NGO membiayai projek memusnahkan jerat dalam usaha menyelamatkan hidupan liar daripada pupus.
"Saya difahamkan WWF dengan kerjasama Perhilitan telah menjalankan Project Stampede yang dianggotai hanya 15 orang untuk mengenal pasti dan memusnahkan kawasan jerat.
"Mereka memerlukan lagi 50 individu membantu mereka meneruskan projek ini dengan lebih meluas dan saya galakkan pihak korporat dapat membantu dalam menjayakan projek ini dan membanteras pemburuan haram secara habis-habisan," katanya. -- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.