KLUANG – Kerajaan
Johor memperuntukkan RM450,000 tahun ini untuk disalurkan kepada
sembilan sekolah menengah persendirian Cina di negeri ini, kata Menteri
Besar, Datuk Osman Sapian.
Beliau
berkata, sekolah berkenaan adalah Sekolah Tinggi Persendirian Chong Hwa
di Muar; Sekolah Menengah Persendirian Pei Hwa di Tangkak; Sekolah
Tinggi Chong Hwa, di sini; Sekolah Tinggi Yong Peng dan Sekolah Tinggi
Persendirian Pei Chun di Pontian.
Sekolah
lain ialah Sekolah Tinggi Cina Batu Pahat; Sekolah Tinggi Chong Hwa
Rengit, Sekolah Menengah Foon Yew di Kulai serta Sekolah Menengah Foon
Yew di Johor Bahru, yang masing-masing menerima RM50,000, katanya.
“Saya
mengambil kesempatan untuk mengumumkan beberapa perkara demi kebaikan
bersama sebagai sumbangan dan juga oleh-oleh yang bukan sahaja untuk
Sekolah Chong Hwa, bahkan beberapa sekolah lain.
“Kami
(kerajaan Pakatan Harapan) akan cuba menunaikan janji pilihan raya kami
secepat mungkin. Yang paling penting sekali, kami tidak akan mengabaikan
sesiapa yang berjuang bersama untuk membina semula negara kita.
“Tanpa
sekolah-sekolah yang terus membuka minda para pelajar, menanam benih
minda yang betul kepada pelajar, kita tidak akan mempunyai masyarakat
yang membuat keputusan bijak buat negara ini,” katanya berucap pada
majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Sekolah Menengah dan Rendah Chong Hwa
Kluang, di sini, malam tadi.
Osman
berkata, Sekolah Menengah dan Rendah Chong Hwa Kluang, yang ditubuhkan
pada 1918 iaitu ketika Perang Dunia Pertama baru tamat, mempunyai banyak
sumbangan kepada masyarakat.
Beliau
berkata, ketika corak peralihan dunia masih belum jelas, namun, Sekolah
Chong Hwa telah mula menanam benih untuk membentuk generasi akan datang.
“Peribahasa
Cina ada menyebut, ‘tanam sepohon pokok, akan menikmati redupnya
sepuluh tahun kemudiannya. Bina sebuah sekolah, akan membentuk
masyarakat 100 tahun kemudiannya’.
“Maksud
peribahasa tersebut jelas bahawa dasar pendidikan yang kita gubal hari
ini akan memberi impak kepada generasi akan datang 100 tahun nanti.
Justeru, saya berharap Sekolah Chong Hwa Kluang akan terus menjadi model
dalam bidang pendidikan,” katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.