Seorang warga emas yang mengalami masalah pendengaran memohon pihak berwajib membantu membaik pulih rumahnya yang semakin uzur di Kampung Belakang Taman Desa Cengai Indah, di Alor Setar.
Shabuddin Said, 73, berkata beliau tidak mampu membaiki rumah pusakanya itu kerana tahap kesihatannya semakin merosot akibat penyakit buasir serta tidak mempunyai pendapatan tetap.
"Saya duduk seorang diri, nak makan saya pergi kedai makan, bila sakit saya tumpang dengan anak saudara di rumah sebelah, duit tak ada selalu sebab bergantung kepada duit sewa bendang dan tak mampu nak baiki rumah," katanya kepada pemberita di program ziarah Institut Pemikiran Dr Mahathir (IPDM) semalam.
Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris yang turut menghulurkan bantuan berupa wang tunai serta barangan keperluan asas makanan.
Shabuddin berkata sebelum ini, beliau menolak pelawaan penduduk kampung untuk membaiki kediaman tersebut kerana terlalu sayangkan rumahnya itu daripada diubah suai dan dirobohkan.
"Bukan saya tak mahu baik pulih atau bina baharu, tetapi saya sayangkan rumah ini tempat saya dilahirkan serta tinggal di sini dan banyak kenangan di rumah ini... bila rasa sunyi saya tengok rumah ini dan saya teringat kenangan lama dari kecil sehingga sekarang," katanya.
Tinjauan mendapati, keseluruhan rumah diperbuat daripada papan itu reput dimakan anai-anai pada bahagian lantai dan sebahagian dinding rumah roboh selain bumbung rumah bocor dan berlubang.
Berikutan itu, setiap kali hujan, Shabuddin terpaksa meletakkan baldi untuk mengelak basah dan berlindung di tempat selamat apabila angin kuat terutama pada waktu malam.
Sementara itu, Mohd Asmirul Anuar berkata pihaknya akan membantu Shabuddin mendapatkan bantuan secepat mungkin bagi membaik pulih rumah daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
"Kita harap LZNK dapat datang dan melihat sendiri keadaan rumah ini dan jika perlu, bina rumah baharu. Kita juga akan memohon bantuan kewangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban yang ditanggungnya,” kata beliau.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.