Rabu, 27 Jun 2018

Umno kecewa jika tiada menteri dari Kelantan

 
   

Umno Kelantan menyatakan kekecewaan jika benar tiada wakil negeri itu dalam jemaah menteri pusat, seperti dalam senarai kabinet penuh yang tular beberapa hari lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata, ia pasti menyukarkan urusan antara kerajaan negeri dengan persekutuan.

Ketika pentadbiran BN, katanya lagi, negeri itu sentiasa mempunyai wakil dalam kabinet walaupun ditadbir pembangkang iaitu PAS.

"Saya tak boleh andaikan senarai (kabinet penuh) itu benar kerana belum angkat sumpah, tetapi jika benar kita sebagai rakyat Kelantan dukacita kerana tiada wakil.

"Wakil dalam kerajaan pusat amat penting kerana ia akan mengukuhkan usaha membela rakyat negeri dan melancarkan urusan pentadbiran negeri dan pusat," katanya kepada pemberita ketika majlis hari raya bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim di Kota Bharu, malam tadi.

Dalam PRU ke-14, HARAPAN gagal menang sebarang kerusi Parlimen dan DUN di Kelantan.

Bagaimanapun menteri juga boleh dilantik di kalangan senator yang dipilih di setiap negeri.




Timbalan Presiden PAS merangkap anggota parlimen Kubang Kerian Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man namun berkata, kerajaan pusat tidak perlu melantik pemimpin negeri itu sebagai menteri pusat menerusi kaedah itu.

"Sebarang perlantikan bertaraf senator sebagai menteri atau timbalan, hanya akan mengundang tohmahan kerana rakyat tak mahu melihat budaya BN diteruskan," katanya.

Menyuarakan sentimen berbeza, Mustapa berharap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan melantik sekurang-kurangnya seorang wakil Kelantan dalam kabinetnya.

Jika tidak negeri itu berisiko terpinggir daripada perhatian kerajan pusat dalam soal penting seperti pembangunan, pendidikan dan keselamatan sempadan, katanya.

"Memang ada banyak saluran seperti media dan pertemuan untuk menyampaikan pandangan mengenai negeri, namun wakil dalam kabinet akan memudahkan ia dibawa secara terus ke peringkat tertinggi.

"(Dengan itu) tindakan pantas daripada kerajaan pusat dapat diambil...Apa-apa pun saya harap senarai yang tular itu tidak benar," katanya lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.