Sabtu, 30 Jun 2018

Umno dijangka umum keputusan pemilihan 1 pagi Ahad

 
Setakat 5.52 petang, Ahmad Zahid Hamidi mendahului 4 calon lain bagi jawatan presiden Umno.


Menurut sumber, keputusan penuh pemilihan Umno akan diumumkan melalui sidang media atau laman web Umno Online. (Gambar Bernama)


KUALA LUMPUR: Pucuk pimpinan baru Umno yang akan menerajui parti itu sehingga 2021, dijangka diketahui awal pagi nanti, menurut seorang sumber.

Katanya, pengumuman rasmi kepimpinan tertinggi dalam pemilihan Umno itu akan dibuat Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selepas proses pengiraan undi selesai.

“Pengumuman rasmi keputusan akan dibuat paling awal jam 1 pagi esok oleh setiausaha kerja.

“Keputusan penuh akan diumumkan sama ada melalui sidang media atau laman web Umno Online, sebarang keputusan awal dikeluarkan sebelum waktu itu adalah tidak rasmi,” kata sumber kepada FMT.
Ibu Pejabat Umno turut memaklumkan keputusan pemilihan kepimpinan tertinggi parti itu tidak akan dipaparkan di Auditorium Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) seperti pemilihan 3 sayap pada minggu lalu.

Setakat 5.42 petang tadi, keputusan tidak rasmi menunjukkan pemangku presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendahului pertandingan jawatan presiden dengan 36 undi, diikuti Khairy Jamaluddin dengan 30 undi dan Tengku Razaleigh Hamzah 10 undi.

Bagi jawatan timbalan presiden pula, Datuk Seri Mohamad Hassan mendahului dengan 10 undi dan Tan Sri Annuar Musa mendapat 8 undi.

Hala tuju Umno akan ditentukan 146,000 perwakilan dalam 191 bahagian di seluruh negara, menerusi pemilihan yang dianggap terpenting dalam sejarah parti itu selepas kekalahan mengejut pada pilihan raya umum ke-14.

Jawatan presiden Umno menjadi tumpuan, selepas Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan itu pada 12 Mei lalu atas kekalahan parti itu dan Barisan Nasional pada 9 Mei lalu.

Jawatan presiden Umno menyaksikan pertandingan 5 penjuru antara Zahid, Khairy, Razaleigh dan 2 calon kurang dikenali, Mohamed Iqbal Maricair serta Yusof Musa @ Jamaludin.

Ini adalah kali pertama jawatan presiden dipertandingkan sejak pemilihan pada 1987 yang memecahbelahkan parti itu, di mana Razaleigh kalah tipis 43 undi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.