Akhirnya Umno mendapat nakhoda baru selepas kapal mereka berlabuh akibat dibadai pengundi pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini dilihat bakal menjadi perdana menteri - sehinggalah BN kecundang di tangan Pakatan Harapan (HARAPAN) - dipilih majoriti anggota parti untuk menjadi presiden mereka.
Setakat jam 9.10 malam ini anggota parlimen Bagan Datuk itu memperoleh 85 undi sekali gus tidak memungkinkan mana-mana calon mengejarnya lagi.
Dua lagi calon utama yang bersaing untuk mengisi tempat ditinggalkan oleh Datuk Seri Najib Razak ialah anggota parlimen Rembau yang juga bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, serta veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.
Khairy mendapat 49 undi manakala Tengku Razaleigh cuma 22 undi.
Untuk rekod ini adalah percubaan kedua Tengku Razaleigh untuk menjadi presiden selepas 1987.
Kira-kira 31 tahun lalu cubaan beliau digagalkan oleh kelebihan 43 undi yang memihak kepada perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu bagi perebutan jawatan timbalan presiden, bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan semakin hampir menjadi pemenang apabila setakat 9.25 malam, beliau sudah mempunyai 70 undi.
Mohamad hanya memerlukan 26 undi lagi untuk menjadi pemenang. Pencabar tunggalnya, Tan Sri Annuar Musa ketinggalan dengan setakat ini hanya meraih 50 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.