Ahad, 3 Jun 2018

SELESAIKAN SEGERA KEMELUT PERLIS – KJ

Oleh : SYAKIRIN DAUD

Foto Hazierra Lukman@Watan-Online

Pemuda UMNO berharap isu pelantikan Menteri Besar Perlis dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata kemelut tersebut tidak memberikan sebarang gambaran baik kepada parti daripada pelbagai sudut.

“Isu ini perlu segera diselesaikan kerana ia tidak memberikan imej positif kepada parti sama ada dari segi keputusannya mahupun penerimaan terhadap keputusan yang dibuat Raja Perlis.

“Kita juga harus berpegang kepada semangat demokrasi itu sendiri di mana sebagai parti yang telah memperolehi majoriti, sudah pasti kita ada hak untuk mencadangkan siapa yang bakal menjadi menteri besar,” katanya dalam satu sidang media selepas majlis berbuka puasa bersama barisan kepimpinan Pemuda UMNO seluruh negara di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Khairy yang juga merupakan Ahli Parlimen Rembau itu turut mencadangkan supaya Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man untuk mengetengahkan calon lain yang boleh dipersetujui oleh kedua-dua pihak sama ada istana dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang lain.

“Saya cadangkan satu formula baru dicari. Mungkin Datuk Seri Azlan boleh runding calon lain yang boleh diterima dua pihak.

“Kalau tidak, beliau tidak dapat lantik exco, tidak dapat sokongan majoriti ADUN BN dan ini akan menghalang pentadbiran kerajaan negeri.

“Itu kalau sayalah yang kendalikan, tetapi saya cuma calon naib presiden,” katanya dalam nada berseloroh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.