KUALA LUMPUR – Tengku Razaleigh Hamzah berjanji sedia menjadi hamba jika dipilih sebagai Presiden UMNO oleh perwakilan parti pada 30 Jun ini.
Malah beliau yang dikenali sebagai Ku Li juga yakin UMNO dapat kembali semula berkuasa di negara ini lebih awal tanpa perlu menunggu tempoh lima tahun lagi.
Justeru Ahli Parlimen Gua Musang itu menegaskan, UMNO mesti nampak kelihatan gagah jika mahu mendapat semula kuasa yang hilang.
“Ahli-ahli UMNO mesti bersatu dan tidak boleh berpecah-belah. Jangan bagi orang pijak dan main-mainkan kita.
“UMNO tidak reda jika ada yang hendak cabul perlembagaan, hendak tukar ke bahasa Mandarin.
“Namun semua itu bukan di mulut sahaja tapi kekuatan UMNO adalah perjuangan ahli semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri yang hadir dari bahagian seluruh negara di kediaman di sini hari ini.
Tengku Razaleigh menambah, UMNO hampir mati pada 9 Mei lalu namun kini mula kembali bangkit.
Jelas beliau, perjuangan UMNO ibarat baru hendak bermula untuk kembali melangkah jauh ke hadapan.
“Orang beritahu saya UMNO tidak perlu ubah tujuan murninya kerana apa yang UMNO buat selama ini membawa kesan baik kepada negara.
“Banyak faedah yang dinikmati kepada negara yang sedang membangun. UMNO cuma perlu ulang kredibiliti dan integriti yang hilang ketika ini.
“UMNO kini berdepan ‘trust of deficit,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.