ISMA WEB
Anisakis spp serang sistem perut, usus manusia punca cirit-birit, loya
PUTRAJAYA
– Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS)
menemui cacing yang boleh menyebabkan penyakit anisakiasis kepada
manusia dalam sampel tin sardin dari China yang dibawa masuk menerusi
North Butterworth Container Terminal (NBCT) Pulau Pinang pada 14 Mei
lalu.
Ketua
Pengarah MAQIS, Datuk Mokhtarud-din Husain berkata, cacing terbabit
ditemui menerusi pemeriksaan fizikal dan persampelan ke atas beberapa
tin sardin yang tiba dalam dua kontena berisi ‘Canned Mackerel in Tomato
Sauce’ jenama RANESA yang ditahan di NBCT dengan anggaran berat 36,720
kilogram bernilai RM199,797.24.
Cacing
terbabit berkemungkinan daripada genus Anisakis spp yang menyebabkan
penyakit anisakiasis kepada manusia yang biasanya berlaku apabila
manusia memakan makanan laut seperti ikan mentah atau tidak dimasak
sepenuhnya yang dijangkiti parasit terbabit, katanya dalam kenyataan
hari ini.
Anisakiasis
adalah penyakit parasit dan zoonotik bawaan ikan yang disebabkan oleh
nematode Anisakis spp (cacing) yang menyerang sistem gastrointestinal
seperti perut dan usus manusia dan boleh menyebabkan masalah atau
simptom gastrointestinal seperti sakit perut, cirit-birit, loya dan
muntah.
Mokhtarud-din
berkata, perbuatan mengimport melalui pintu masuk apa-apa tumbuhan,
haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikroorganisma
dengan perosak, penyakit atau bahan cemar adalah merupakan satu
kesalahan mengikut Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan
Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
“Kes ini disiasat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata, pengimportan ikan sardin perlu mendapatkan permit import daripada MAQIS.
“Walaupun
permit import diberikan, pengimport perlulah mematuhi bahawa ikan sardin
yang diimport mestilah bersih dan selamat dimakan oleh rakyat
Malaysia,” katanya.
Mokhtarud-din
berkata, MAQIS akan terus menjalankan pemeriksaan ke atas produk ikan
sardin dan mackerel (sejenis ikan kembung) dalam tin yang diimport di
seluruh pintu masuk negara bagi memastikan isu sedemikian tidak
berulang.
“Perkara
ini amat penting bagi memastikan sebarang produk ikan seperti ikan
sardin yang diimport ke negara kita mestilah sentiasa selamat, bersih
dan tidak cemar dengan bendasing seperti cacing,” katanya.
MAQIS
merupakan jabatan yang bertanggungjawab untuk mengawal aktiviti import,
eksport, pemeriksaan, kuarantin dan penguatkuasaan bagi pengimportan
apa-apa tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau
mikroorganisma di semua pintu masuk negara yang diwartakan.
Sebanyak
57 buah pintu masuk yang terdiri daripada pintu masuk udara, laut dan
darat telah diwartakan dan dikawal oleh pihak MAQIS. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.