Isnin, 4 Jun 2018

Raja-Raja Melayu bersidang Selasa selesai lantikan Peguam Negara

THE MALAYSIAN INSIGHT

 Raja-Raja Melayu bersidang Selasa selesai lantikan Peguam Negara
Raja-raja Melayu akan mengadakan mesyuarat pada Selasa ini bagi mencari cara menyelesaikan kekusutan dalam isu peguam negara. – Gambar EPA
 
MAJLIS Raja-raja Melayu akan mengadakan persidangan tergempar Selasa ini untuk menyelesaikan kekusutan berhubung pelantikan peguam negara baharu, kata Istana Negara hari ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Syed Danial Syed Ahmad berkata surat jemputan sudah dihantar kepada Raja-raja Melayu kelmarin.

“Ketika ini belum ada persetujuan dicapai antara pihak Istana Negara dan kerajaan mengenai pemberhentian perkhidmatan peguam negara dan calon penggantinya.

“Raja-raja Melayu mengikuti perkembangan ini dan berasa wujud tanggungjawab untuk membantu menyelesaikan kekusutan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

The Malaysian Insight semalam melaporkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sudah menulis kepada Seri Paduka lebih 10 hari lalu, menasihati baginda agar Peguam Negara Mohamed Apandi Ali dipecat.

Dr Mahathir menasihati Agong agar Apandi digantikan dengan peguam kanan yang juga pakar perlembagaan, Tommy Thomas. Pemilihan Tommy mendapat konsensus empat parti gabungan dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Empat parti gabungan dalam PH merasakan pelantikan tokoh yang dihormati dalam bidang perundangan itu akan menghantar isyarat jelas kepada rakyat Malaysia dan dunia bahawa kerajaan baru ini serius hendak membetulkan institusi negara yang cacat.

Nasihat Perdana Menteri itu bagaimanapun dikatakan tidak ada tindakan selanjutnya, membawa kepada ketegangan antara kerajaan dan istana.

Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan "Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri melantik seorang yang layak menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan."

Fasal 5 perkara yang sama pula menetapkan kedudukan jawatan Peguam Negara iaitu "selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong". Peguam Negara bagaimanapun pada bila-bila boleh meletakkan jawatannya dan berhak atas pencen sebagaimana yang ditetapkan.

Tiga minggu selepas Pakatan Harapan menyingkirkan Barisan Nasional dan jadi kerajaan di Putrajaya, kedudukan Peguam Negara terus jadi tanda tanya selepas Dr Mahathir, pada hari kedua jadi perdana menteri, dengan tegas mengatakan Apandi bukan lagi seorang peguam negara.

Pada 15 Mei, Apandi mula bercuti tanpa rekod selama 30 hari. Apandi juga enggan mengulas kenyataan Dr Mahathir itu sebaliknya memberitahu Bernama bahawa beliau masih seorang peguam negara yang berkhidmat atas perkenan Yang Di-Pertuan Agong.

Tempatnya dipangku oleh Peguam Cara Negara, Engku Nor Faizah Engku Atek.

Semalam, peguam yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh  meminta Apandi diberhentikan segera dan seorang Peguam Negara yang baru dilantik agar kelancaran pentadbiran negara tidak terjejas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.