Secara peribadi, Darwis, 56, tambah terkejut dengan pemecatan itu kerana walaupun dalam pilihan raya umum yang lepas beliau mengundi calon BN, beliau sendiri bukanlah pemimpin cawangan Umno.
"Kami bukan ketua Umno cawangan, kalau Umno itu barulah politik.
"Ketua kampung tidak terlibat dalam berpolitik tetapi menerima nasib seperti ini," katanya kepada The Malaysian Insight.
Pemecatan itu memang mengejutkan. Notis datang dari pejabat Menteri Besar. Notisnya singkat, hanya tiga hari. Surat dikeluarkan bertarikh 28 Mei; pemecatan berkuat kuasa 31 Mei.
Menteri Besar Osman Sapian sehingga ini belum menjelaskan alasan pemecatan ketua-ketua kampung itu, yang dipercayai melibatkan lebih 600 ketua kampung di seluruh negeri.
Tindakan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) itu pula disifatkan oleh Umno Johor sebagai "tergesa-gesa, bermotif dendam dan tanpa asas yang jelas dan kukuh".
“Ini menunjukkan yang kerajaan negeri bersikap sangat ‘political’, terburu-buru dan tidak profesional dalam menguruskan pemimpin masyarakat peringkat rendah,” kata bekas menteri besar Johor, Mohamed Khaled Nordin yang juga pengerusi Umno negeri.
Khaled mempersoalkan apa alasan semua ketua kampung dan ketua masyarakat itu dipecat sedang pada masa sama kerajaan negeri bercadang membuat lantikan baru.
Di daerah Batu Pahat, 173 ketua kampung yang dipecat diraikan dalam sebuah majlis perpisahan dan penghargaan pada Khamis, di kediaman rasmi Pegawai Daerah Mohad Haffiz Ahmad.
"Urusan berkaitan kampung buat masa ini diserahkan kepada penghulu. Mereka tidak terlibat dengan penamatan tugas," kata Darwis, sekarang bekas ketua Kampung Haji Kamisan dalam Mukim Chaah Baru.
Beliau jadi ketua kampung itu 16 September 2014 dan bertanggungjawab menjaga empat kampung rangkaian di pekan Chaah, yang terletak antara Labis dan Yong Peng.
Serentak dengan pemecatan itu, pentadbiran negeri Johor di bawah Pakatan Harapan (PH) mula mencari pengganti ketua kampung yang baru.
Pejabat Daerah Batu Pahat kelmarin mengeluarkan iklan mempelawa permohonan untuk mengisi 173 kekosongan jawatan ketua kampung.
Permohonan dibuka mula hari ini sehingga 10 Jun, manakala calon yang layak akan disaring dalam temuduga yang akan menilai keupayaan dan pengetahuan pentadbiran, termasuk ilmu agama.
Tetapi Darwis tidak akan memohon semula jawatannya itu. Yang sudah-sudahlah, katanya. Beliau kini mahu "jadi orang biasa" dan meneruskan hidup dengan bekerja kampung.
Rakannya yang lain juga begitu walaupun beliau dapat tahu ada yang akan memohon untuk jadi ketua kampung semula.
"Sekarang mereka jadi seperti orang biasa yang lain meneruskan kehidupan dengan aktiviti masing-masing.
"Ada yang menoreh, teruskan kerja menoreh. Ada yang berkebun, kerja seperti biasalah... tak ada lagi jalankan tugas-tugas ketua kampung," kata Darwis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.