KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak perlu tergopoh-gopoh
dalam membuat keputusan untuk menarik Malaysia daripada memfailkan
semakan semula tuntutan Pulau Batu Putih daripada Mahkamah Keadilan
Antarabangsa (ICJ).
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato' Tuan
Ibrahim Tuan Man berkata, penghakiman Pulau Batu Putih mesti diteruskan
kerana perkara terbabit melibatkan maruah dan kedaulatan negara.
"Saya berpandangan kerajaan tidak perlu
terlalu gopoh dalam membuat keputusan penting ini, sepatutnya semakan
penghakiman diteruskan. Isu Pulau Batu Putih adalah maruah negara dan
merupakan wilayah kita.
"Kerajaan Johor telah bertegas, agar semakannya diteruskan sebagaimana titah Sultan Johor satu masa dulu," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan
keputusan kerajaan Malaysia untuk mempertimbangkan semakan itu adalah
untuk mengambil hati Singapura selepas kerajaan Malaysia mengisytiharkan
pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang
menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura.
"Ia mungkin satu kemungkinan (pembatalan
projek HSR), namun soal kedaulatan negara tentu tidak boleh ditukar
ganti," katanya yang ditanya keputusan kerajaan ini bertujuan menjaga
hati hubungan baik Malaysia dengan Singapura.
Malaysia sebelum ini telah memfailkan
semakan semula Pulau Batu Putih pada Februari tahun lalu berikutan
penemuan bukti baharu dalam tiga dokumen di Perpustakaan Negara United
Kingdom pada 2016. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.