Jumaat, 29 Jun 2018

Perubahan besar dalam pemilihan UMNO mampu kembalikan kepercayaan rakyat – KJ

THE MALAYSIAN TIMES
 


KANGAR: Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin berharap semua perwakilan di seluruh negara menggunakan pemilihan parti pada kali ini, sebagai peluang untuk membawa perubahan besar di dalam parti sekali gus mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata pemilihan kali ini sangat penting kerana ia bukan sahaja dinantikan oleh anggota UMNO sendiri, malah seluruh rakyat kini memberikan tumpuan dan mahu melihat sesuatu yang berbeza berlaku di peringkat kepimpinan parti itu.

“Rakyat nak lihat kami dapat buat perubahan besar dan dapat memilih kepimpinan UMNO yang dapat mengembalikan kepercayaan rakyat,” katanya kepada pemberita di Dewan 2020 di sini, hari ini.

Beliau berkata UMNO juga berhadapan cabaran yang sangat besar dan paling utama adalah untuk mengubah pemikiran, budaya dan perlu dilihat sebagai parti yang berhemah, sentiasa bersama rakyat, tidak sombong atau angkuh serta berhujah berteraskan ilmu.

Dalam pada itu Khairy berkata beliau selama ini telah menjadi seorang pengikut parti yang setia dan kini masa untuknya tampil bagi membawa transformasi besar yang dikehendaki rakyat sebelum mereka dapat memberi semula kepercayaan kepada UMNO.

Pada pemilihan kali ini yang bakal berlangsung esok, Khairy bakal berhadapan dengan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Pemangku Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.– Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.