Jumaat, 29 Jun 2018

Mampukah Umno bangkit dari rebah?

 


ULASAN | Pemilihan Umno kali ini amat menarik minat bukan sahaja di kalangan ahli, parti lawan mahupun masyarakat amnya.

Oleh kerana sudah agak lama tiada pertandingan kerusi nombor 1 dan 2, maka pemilihan kali ini dilihat sangat penting dan mengujakan, apalagi setelah mengalami kekalahan teruk pada PRU ke-14 lalu.

Rata-rata persoalan yang timbul, mampukah Umno bangkit kembali dari rebah, akibat tidak mahu berubah? Yang ironinya, beban kekalahan diletakkan sepenuhnya di bahu Presiden. Dan kini, Datuk Seri Najib Razak telah mengambil tanggungjawab itu dan menyerahkannnya kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memangku jawatan presiden.

Ketika kecil, ramai yang pernah mendengar lagu ‘Bangau Oh Bangau’ dilantunkan. Namun, tak ramai yang mahu memahami maksud lirik dan prosa kata yang digunakan. Ketika Umno sudah rebah pun, ahli-ahli parti tetap mencari sesuatu atau seseorang untuk dipersalahkan.

Bukan sesuatu yang bijak dengan hanya melihat semata-mata, siapa calon yang bertanding untuk kerusi nombor satu. Setelah mencermati visi dan misi serta manifesto yang mereka bentangkan, maka timbul satu persoalan yang jauh lebih penting demi kelangsungan hidup atau survival Umno.
Persoalan itu adalah, apakah Umno mampu bangkit hanya dengan terpilihnya seorang Presiden?

Apakah seorang Presiden itu saja mampu berfungsi sebagai ‘catalyst’ atau pemangkin merangsang dan mengajak ahli-ahlinya bangkit?

Cabaran besar bukanlah setakat memilih seorang presiden parti. Cabaran yang lebih utama ialah bagaimana setiap ahli UMNO itu berperanan, berpolitik dan perlu berubah!

Cara berpolitik dan mendekati rakyat itu yang perlu diubah. Ilmu dan kemahiran perlu ditingkatkan. Program-program bersifat ‘outreach’ perlu lebih diberi keutamaan.

Ahli Umno perlu keluar dari kepompong dan zon selesa dengan membuat program syok sendiri. Ahli parti perlu lebih ‘memasyarakatkan’, ‘membumikan’ diri dan merakyatkan Umno apatah lagi dengan statusnya sebagai pembangkang di kala ini.

Budaya 'politik sate'

Pemilihan ini sepatutnya menjadi kesempatan utama bagi memperkukuhkan kekuatan di setiap 191 bahagian seluruh negara. Zahid Hamidi menekankan peri pentingnya politik wang dan budaya ‘warlordism’ ini dihapuskan hingga ke peringkat akar umbi.



Inilah dua masalah utama yang membelenggu Umno selama ini. Ini menuntut agar Presiden Umno bukan saja mempunyai ciri-ciri unggul sebagai pemimpin, tetapi pentingnya Umno mempunyai seorang ‘pemimpin spiritual’ dalam mendepani cabaran-cabaran masakini.

Mengapa perlu menyalahkan orang lain jikalau pergolakan dan ‘politiking’ berlebihan masih gagal diurus dengan baik di peringkat bahagian? Malah tidak kurang yang menjadi tukang cucuk dan tukang kipas, menjadikan budaya ‘politik sate’ ini menjerat Umno itu sendiri hingga jatuh tersungkur.

Natijahnya, rakyat sendiri sudah beralih arah dan mahukan parti yang lebih baik bagi memerintah negara.

Nah! Itulah yang menyebabkan beban utama sekarang harus dipikul oleh semua ahli Umno.

Kekalahan dalam PRU 14 adalah kekalahan buat semua ahli, dan ia tidak hanya dipikul oleh seorang dua pemimpin. Colletive decision atau keputusan bersama. Memang mudah menjadi seperti lagu Bangau Oh Bangau. Tetapi ia pasti tidak mampu membuatkan Umno bangkit kembali!

Mandat kepada Zahid

Oleh yang demikian, untuk memulih dan memastikan Umno bangkit semula, Zahid, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dan Khairy Jamaluddin, serta mereka yang mahu meneruskan perjuangan memimpin Umno hingga ke peringkat akar umbi, perlulah berada dalam saf kepimpinan parti. Inilah formula yang terbaik!

Jangan termakan dengan hasutan dan desakan orang lain, apalagi pihak luar yang hanya mahukan Umno hancur menjadi debu dan tinggal dalam lipatan sejarah. Apa guna yang menang jadi arang, yang kalah jadi debu.

Dengan pengalaman, semangat, kesetiaan, keikhlasan dan keupayaan yang ada pada Zahid, biarlah Zahid yang mengisi jawatan nombor satu. Ini selaras dengan mandat yang pernah diberikan perwakilan pada persidangan agung Umno 2017.



Ku Li, Khairy dan pemimpin-pemimpin lain yang bertanding, semua mereka ini hendaklah diberi tempat dalam parti mengikut posisi yang sesuai agar Umno mampu membina satu ketumbukan besar dan jitu bagi merampas kembali Putrajaya. Semua mereka ini adalah aset parti yang terlalu bernilai dan berharga, dan tidak boleh disia-siakan begitu saja.

Agak menjengkelkan melihat persepsi yang cuba dibentuk dengan melabel seseorang pemimpin itu dengan label yang tertentu. Malah ada yang sengaja mencipta slogan-slogan menuntut perubahan, sedangkan hakikatnya mereka inilah yang perlu berubah!

Lihatlah saja apa yang berlaku kepada Malaysia Baru. Rakyat telah memilih, dan mereka harus memikul akibat dari pilihan mereka. Apakah janji-janji Malaysia Baru ini lebih indah khabar dari rupa? Mereka pakar 'Politik Kelentong'. Biarlah rakyat yang menilainya.

Kini mereka mula menekan Umno dengan membekukan akaun bank. Niat mereka untuk melumpuhkan Umno dan kemudian memujuk anggota Parlimen parti menyertai HARAPAN. Jadilah anak jantan bukan bertindak pukul curi.

Iktibar dan Ibrah yang perlu diambil oleh ahli Umno, suara-suara yang menuntut perubahan perlu memikirkan, Apakah sebenarnya yang perlu diubah? Dan siapa yang perlu berubah?


*DATUK ALEXANDER NOOR adalah ahli Umno yang mengikuti politik tanah air sejak 1970an.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.