Selasa, 26 Jun 2018

KPKT cadang bina perumahan, kawasan rekreasi di tapak Highland Tower




KPKT cadang bina perumahan, kawasan rekreasi di tapak Highland Tower



Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk membina projek perumahan bagi golongan B40 di tapak kondominium Highland Towers yang runtuh 25 tahun lalu, kata Menterinya Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, bagaimanapun pembangunan tersebut hanya boleh dilaksanakan setelah tanah berkenaan diambil-alih dan segala isu berkaitan perundangan, tanah dan pembeli kondominium itu berjaya diselesaikan.

“Mesyuarat pertama Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers akan berlangsung di KPKT esok dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Datuk Mohammad Mantek,” katanya pada sidang akhbar mingguan beliau di pejabatnya  hari ini lapor Bernama.

Jelasnya, selain KPKT, kementerian dan agensi yang terlibat dalam jawatankuasa berkenaan ialah Kementerian Kewangan, Kerajaan Negeri Selangor, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Tambah Zuraida, tapak kondominium Highland Towers merupakan sebidang tanah premium di Kuala Lumpur yang tidak harus dibiarkan begitu sahaja dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Bagaimanapun, inisiatif beliau sejak mula menjadi anggota Parlimen Ampang pada 2008 untuk mencari penyelesaian bagi membangunkan tapak Highland Towers yang terbiar menemui jalan buntu.

Pada 11 Dis 1993, satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.

Ditanya berhubung risiko keselamatan jika projek perumahan dibangunkan di tapak Highland Towers yang merupakan tanah cerun, Zuraida berkata, projek perumahan yang akan dibangunkan akan mematuhi semua spesifikasi pembangunan di tanah cerun.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPKT akan mengkaji polisi sedia ada berhubung tempoh yang ditetapkan bagi membolehkan kerajaan mengambil-alih projek perumahan yang terbengkalai di seluruh negara.

“Jika tempoh yang ditetapkan dalam polisi sedia ada disifatkan terlalu panjang, mungkin ada keperluan untuk tempoh itu dipendekkan. Pada masa ini daripada 257 projek terbengkalai di seluruh negara, 198 atau 75 peratus sudah diselesaikan. Namun ia mengambil masa yang lama.”

“Kebanyakan projek perumahan yang terbengkalai adalah projek swasta dan negeri Selangor mempunyai projek terbengkalai tertinggi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.